Perodua Myvi, Yamaha 135LC paling kerap terlibat kemalangan
KUALA LUMPUR – Perodua Myvi dan Yamaha 135LC berada di tangga teratas kategori kereta dan motosikal yang paling kerap terlibat dalam kemalangan bagi tahun 2024.
Penyelaras Majlis Pengurangan Kecurian dan Kemalangan Kenderaan (VTAREC), Mas Tina Abdul Hamid berkata, rekod industri insurans menunjukkan sebanyak 24,628 tuntutan dibuat melibatkan Perodua Myvi pada tahun lalu, lapor NST.
Ini diikuti Proton Saga dengan 16,159 tuntutan dan Honda City dengan 13,388 tuntutan.
“Sepuluh kereta teratas yang paling kerap terlibat dalam kemalangan, dan mendahului senarai adalah ‘Raja Malaysia’ (Myvi).
“Ini bukan sekadar dakwaan; ia berdasarkan statistik: 24,628 Perodua Myvi terlibat dalam kemalangan, diikuti oleh Proton Saga sebanyak 16,159 dan Honda City sebanyak 13,388,” katanya.
Mas Tina berkata demikian semasa taklimat pelancaran awal kempen kesedaran awam VTAREC 2025 mengenai kecurian kenderaan dan kemalangan jalan raya.
Sementara itu, Yamaha 135LC berada di tangga teratas sebagai motosikal yang paling kerap terlibat dalam kemalangan, dengan hampir 3,000 kes, diikuti oleh Yamaha Y15ZR dengan 2,154 kes.
“Kedua-dua kenderaan ini (Yamaha 135LC dan Y15ZR) menyumbang kira-kira 30 peratus daripada jumlah keseluruhan kemalangan motosikal tahun lalu,” katanya lagi.
Terdahulu, beliau berkata, berdasarkan rekod tuntutan insurans, negara merekodkan sejumlah 266,716 kemalangan pada 2024.
Kemalangan kereta mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 229,739 kes, diikuti kenderaan komersil (21,828 kes) dan motosikal (15,149 kes).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








