Guru, 3 murid PASTI cedera bas terlanggar pokok
SERDANG – Seorang guru dan tiga murid Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Ampang cedera apabila bas dinaiki mereka hilang kawalan lalu melanggar pokok di Jalan Persiaran Universiti 1 Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini hari ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad, kejadian berlaku pada pukul 12.18 tengah hari ketika bas persiaran yang dipandu lelaki berusia 44 tahun itu membawa lima guru pengiring dan 30 murid.
Jelasnya, bas berkenaan sedang dalam perjalanan dari kilang coklat Beryl’s menuju ke arah G2G Animal Garden MAEPS, di sini.
“Siasatan awal mendapati bas berada di laluan lurus dan kemudian hilang kawalan sebelum kenderaan itu terbabas ke sebelah kiri jalan lalu melanggar pokok.
“Kejadian itu menyebabkan seorang guru dan tiga murid cedera ringan dan dihantar ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut, manakala guru dan murid lain selamat.
“Tiga mangsa kanak-kanak itu terhantuk di bahagian kepala dan mereka mendapat rawatan pesakit luar, manakala guru pengiring menerima jahitan di kepala dan sudah keluar dari hospital,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, pemandu bas itu sudah ditahan dan akan direman esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, kejadian tersebut turut menjadi tular apabila video kamera papan pemuka (dashcam) yang memaparkan kemalangan itu tersebar di media sosial.
Dalam pada itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat jenayah dengan menghubungi IPD Serdang di talian 03-80742222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








