
Kanak-kanak berbasikal maut dilanggar kereta
SEREMBAN – Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang sedang bermain basikal maut selepas dilanggar kenderaan Jalan Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan, di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, kejadian pada kira-kira pukul 7 petang itu turut membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Ativa dipandu lelaki berusia 34 tahun.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta berkenaan dari arah Jalan Nusari Aman 2/2M menuju ke arah pintu pos pengawal Taman Nusari Aman 1B,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mangsa yang sedang mengayuh basikal dipercayai datang dari arah bertentangan di belakang sebuah pikap.
“Basikal berkenaan kemudian dipercayai masuk ke laluan Perodua Ativa menyebabkan pemandunya tidak sempat mengelak lalu terus merempuh mangsa.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan di anggota badan dan dibawa ke HTJ (Hospital Tuanku Jaafar) untuk rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia pada pukul 8.05 malam ketika menerima rawatan,” katanya lagi.
Katanya, siasatan kes masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Fadzilah Ahmad di talian 016-2895801 atau boleh terus ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
“Ibu bapa atau orang dewasa dinasihatkan untuk mengawasi pergerakan kanak-kanak yang membuat aktiviti di luar rumah terutama yang menggunakan jalan raya supaya perkara tidak diingini dapat dielakkan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








