BERITA SEMASA

Keluarga mangsa X50 nafi pemandu terlelap, mohon hentikan spekulasi

SHAH ALAM – Keluarga kepada mangsa kemalangan membabitkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X50 menafikan dakwaan tular di media sosial kononnya pemandu kenderaan itu terlelap sebelum kejadian berlaku.

Pengguna aplikasi Threads @idayufarhanah yang mengakui sebagai ahli keluarga mangsa
berkata, dakwaan yang tersebar termasuk identiti pemandu yang dikaitkan sebagai anggota polis adalah tidak tepat dan perlu diperbetulkan bagi mengelakkan kekeliruan.

“Pemandu bukan polis, yang polis ialah abangnya iaitu penumpang di sebelah hadapan,” katanya dalam satu hantaran di Threads hari ini.

Pada masa sama, dia turut meminta orang ramai menghentikan penyebaran spekulasi tidak sahih serta tidak membuat andaian sendiri berhubung kejadian berkenaan.

Dalam pada itu, keluarga mangsa turut merayu agar gambar dan video di lokasi kejadian yang telah tular di media sosial dipadamkan segera bagi menjaga sensitiviti serta privasi keluarga yang sedang berduka.

Selain itu, mereka turut menafikan dakwaan bahawa seorang kanak-kanak perempuan dalam insiden itu telah meninggal dunia.

Sebaliknya, kanak-kanak berkenaan dilaporkan masih menerima rawatan dan sedang berjuang untuk terus hidup.

“Seorang kanak-kanak perempuan yang dikatakan meninggal dunia kini masih bertarung nyawa. Mohon doakan Aulia kuat untuk lawan,” katanya lagi.

Terdahulu media melaporkan, enam individu termasuk seorang bayi berusia enam bulan maut dalam kemalangan membabitkan sebuah SUV Proton X50 dengan lori muatan tanah di Kampung Baru Pinang Tunggal, Sungai Petani.

Dalam kejadian itu, semua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun cedera parah dan sedang menerima rawatan di hospital.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button