JPNS diarah siasat segera insiden budak jatuh lubang kumbahan di sekolah
PUTRAJAYA – Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) diarahkan supaya menyiasat segera kejadian seorang murid sembilan tahun yang meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam lubang pembentungan di sebuah sekolah di Lenggeng, Nilai hari ini.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad dalam satu kenyataan berkata, KPM mengingatkan semua pentadbir sekolah, pejabat pendidikan daerah dan jabatan pendidikan negeri untuk sentiasa memastikan fasiliti sekolah berada dalam keadaan selamat.
“KPM menzahirkan takziah kepada keluarga murid yang meninggal dunia setelah terjatuh ke dalam lubang pembentungan di sebuah sekolah di Negeri Sembilan seperti yang dilaporkan media pada hari ini.
“Kejadian ini sangat mendukacitakan. JPNS diarah untuk menyiasat segera kejadian ini… tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat ketidakpatuhan prosedur operasi standard,” katanya dalam kenyataan tersebut, hari ini.
Jelas beliau, KPM memberi perhatian kepada aspek keselamatan dan kesejahteraan seluruh warga institusi pendidikan.
Laporan media hari ini menyebut, seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun meninggal dunia dipercayai akibat lemas selepas terjatuh ke dalam lubang kumbahan di sebuah sekolah di Lenggeng, Nilai di sini.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Nilai menerima laporan mengenai kejadian tersebut kira-kira pukul 11 pagi tadi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








