Murid 12 tahun meninggal dunia selepas rebah ketika bermain bola sepak
JOHOR BAHRU – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun meninggal dunia selepas dipercayai rebah ketika menyertai Kejohanan Bola Sepak Bawah 12 Tahun (B-12) di sebuah pusat sukan di sini, semalam.
Mangsa, Allahyarham Danish Hizqeel Mohd Hanif, merupakan pemain kelab Shining FC dan telah menyertai akademi bola sepak itu sejak berusia lapan tahun.
Menerusi hantaran di Facebook, Shining FC menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada seluruh warga akademi.
Menurut kelab itu, Danish Hizqeel dikenali sebagai seorang pemain yang bersemangat tinggi, rajin berlatih, menghormati jurulatih serta sentiasa menceriakan rakan sepasukan dengan senyumannya.
“Pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan yang amat besar buat seluruh keluarga Shining Academy. Kenangan, semangat dan jasanya akan sentiasa terpahat di hati kami.
“Kami mendoakan agar Allah SWT mengampunkan segala dosanya, melimpahkan rahmat ke atas rohnya, menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman serta mengurniakan kekuatan, ketabahan dan kesabaran kepada seluruh ahli keluarga yang ditinggalkan,” menurut hantaran tersebut.
Sementara itu, Persatuan Bolasepak Johor Bahru (JBFA) turut merakamkan ucapan takziah sambil menyifatkan Allahyarham sebagai seorang pemain muda yang memiliki potensi besar dalam sukan bola sepak.
Menurut persatuan itu, pemergian Danish Hizqeel merupakan satu kehilangan yang amat dirasai oleh seluruh komuniti bola sepak di negeri Johor.
Pada masa sama, Unit Sukan, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham yang juga murid Sekolah Kebangsaan Taman Rinting 2, Pasir Gudang menerusi hantaran di Facebook rasmi jabatan berkenaan.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















