Tanah rizab Melayu Selangor meningkat 2,680 ekar sejak 2018
SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor menegaskan keluasan tanah rizab Melayu di negeri itu meningkat sebanyak 2,680 ekar sejak 2018 daripada 400,711 ekar kepada 403,391 ekar.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penjelasan itu susulan persoalan yang dibangkitkan berhubung status tanah rizab Melayu di Sabak Bernam.
Menurutnya, tanah seluas 55.401 ekar di Tanjong Karang, Sabak Bernam telah diwarta keluar pada 3 September lalu, khusus bagi tujuan pembangunan Sabak Bernam Development Area (SABDA).
“SABDA merupakan usaha Kerajaan Negeri Selangor dalam membangunkan anjung utara Selangor bagi meningkatkan keterjaminan makanan serta menggapai potensi agro-pelancongan di Pesisir Pantai Barat, sekali gus meningkatkan peluang pekerjaan bagi warga tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Amirudin berkata, usaha pembangunan itu diterajui anak syarikat Kerajaan Negeri, Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI), selain membabitkan komuniti tempatan termasuk nelayan dan usahawan serta pihak akademia.
Beliau berkata, bagi memastikan keseimbangan antara pembangunan tempatan dan kepentingan tanah rizab Melayu, tanah dengan keluasan sama iaitu 55.401 ekar di Hulu Selangor turut melalui proses pewartaan sebagai tanah rizab Melayu.
“Sejak 2018, jumlah keluasan tanah rizab Melayu di Selangor di bawah pentadbiran ini telah meningkat sebanyak 2,680 ekar berbanding kerajaan terdahulu, iaitu daripada 400,711 ekar kepada 403,391 ekar,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







