TDM sahkan terdapat unsur ‘mandhandling’ hingga menyebabkan kematian anggotanya di Miri
KUCHING – Tentera Darat Malaysia (TDM) hari ini mengesahkan terdapat unsur ‘mandhandling’ sehingga menyebabkan kematian anggotanya yang bertugas di Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD), Isnin lalu.
TDM dalam satu kenyataan memaklumkan, siasatan awal mendapati punca kematian Prebet Muhammad Muqriz Aseri, 21, disahkan akibat trauma tumpul pada dada yang merujuk kepada hentakan kuat pada bahagian dada yang menyebabkan kerosakan pada jantung.
Dapatan itu hasil bedah siasat yang dibuat semalam di Hospital Miri.
“TDM telah menyerahkan kes ini kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut.
“TDM turut menubuhkan Lembaga Siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca dan faktor yang menyumbang kepada insiden ini,” kata kenyataan itu, hari ini.
Sementara itu, Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan turut memberi jaminan, TDM akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus dan adil.
“TDM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana anggota yang terbabit dan didapati bersalah di dalam insiden ini dan berharap orang ramai tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan membuat spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan sedang dijalankan,” katanya.
Jenazah Allahyarham Muhammad Muqriz diterbangkan ke Kuala Lumpur dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Al-Islamiah di Kampung Lindungan, Petaling Jaya, Selangor pada pukul 11.55 malam tadi.
Laporan media sebelum ini menyebut mengenai kematian seorang anggota tentera disyaki akibat didera anggota senior di sebuah kem di Miri, kelmarin.
Dalam kejadian itu, mangsa yang sedang tidur di berek bujang kem berkenaan dikejutkan dua anggota senior untuk bersahur pada pukul 2.15, kelmarin.
Namun sebelum bersahur, dua anggota senior itu difahamkan mengarahkan mangsa melakukan ‘commando rest’ selama dua minit dan tekan tubi sebanyak 20 kali.
Mangsa yang berpeluh kemudian berdiri, namun terus pitam sebelum disahkan meninggal dunia jam 3.05 pagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








One Comment