BERITA SEMASA

Bapa ADUN Gurun meninggal dunia

ALOR SETAR – Bapa kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Baddrol Bakhtiar iaitu Baktiar Md Isa, meninggal dunia pagi tadi akibat masalah kesihatan.

Pemergian Bakhtiar, 66, dimaklumkan menerusi akaun rasmi media sosial bekas pemain bola sepak kebangsaan itu yang baharu dipilih sebagai wakil rakyat pada 12 Ogos lalu.

Difahamkan, Allahyarham meninggal dunia di kediamannya di Cinta Sayang Resort Villa, Sungai Petani pada pukul 6.04 pagi tadi.

“Allahyarham Bakhtiar pernah menjalani pembedahan masalah hernia di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) beberapa hari lalu. Jenazah dijangka akan dimandi dan disolatkan di Masjid Al Muttaqin Taman Ria, Sungai Petani jam 12 tengah hari ini,” kata bapa mentua Baddrol, Mustafa Khalid Hanafi, ketika dihubungi.

Mustafa menambah, jenazah dijangka akan dikebumikan selepas solat Zohor di Tanah Perkuburan Islam Masjid al-Busyra, Merbok.

Pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos lalu, Baddrol yang juga bekas ketua pasukan Kedah Darul Aman (KDA) dan Sabah, memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun dengan memperoleh 17,771 undi.

Bekas pemain tengah skuad Harimau Malaya berusia 35 tahun itu mengalahkan calon Pakatan Harapan (PH), Mohammed Firdaus Johari yang meraih 11,187 undi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button