Kematian doktor pelatih: Polis rekod keterangan 10 individu
KOTA BHARU – Polis sudah merekod keterangan lebih 10 individu setakat ini susulan kematian seorang doktor pelatih wanita di asrama hospital di Kuala Krai, Jumaat lalu.
Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, proses mengambil keterangan itu dibuat sejak hari kejadian sehingga kini.
“Keterangan yang diambil membabitkan rakan mangsa, pensyarah dan keluarga. Kita akan menjalankan siasatan terperinci berhubung kes ini bagi mengenal pasti punca kejadian.
“Hasil keterangan yang diambil, macam-macam yang diperoleh termasuk akibat tekanan, namun siasatan lanjut masih dijalankan dan siasatan diambil oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan,” katanya, hari ini.
Mohd Yusoff seterusnya berkata, mangsa masih belajar dan menjalani latihan praktikal di hospital berkenaan.
Laporan media sebelum ini menyebut, Jabatan Kesihatan Kelantan telah menubuhkan satu jawatankuasa bagi menyiasat dan meneliti secara holistik kes kematian seorang doktor pelatih wanita di asrama Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai.
Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Azman Yacob, dilaporkan sebagai berkata, jawatankuasa berkenaan akan cuba mengenal pasti punca kejadian termasuk dari aspek tekanan tempat kerja dan faktor penyumbang lain.
Dalam kejadian Jumaat lalu, mangsa berusia berusia 29 tahun ditemukan meninggal dunia dalam bilik asrama hospital berkenaan pada pukul 9.55 pagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








