BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

Operasi perniagaan berjalan seperti biasa – Lembaga Pengarah IJM

CYBERJAYA – IJM Corporation Bhd (IJM) memberi jaminan operasi perniagaan kumpulan itu kekal berjalan seperti biasa meskipun Pengerusi Bukan Eksekutifnya sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Lembaga Pengarah syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, fokus mereka kekal terarah kepada kesinambungan perniagaan dan mengekalkan keyakinan dalam kalangan pelanggan serta rakan kongsi.

Mereka turut menyatakan komitmen penuh untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa dan telah memberi maklum balas segera terhadap semua permintaan yang dibuat.

“Syarikat memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa, telah memberi maklum balas segera kepada semua permintaan, dan telah menyediakan semua maklumat serta kakitangan yang relevan bagi memudahkan siasatan,” kata kenyataan itu, hari ini.

Mengulas mengenai aspek tata kelola, IJM menjelaskan bahawa syarikat berkenaan telah menubuhkan prosedur yang mencukupi dan mengekalkan rangka kerja tadbir urus yang teguh.

“Ini termasuk pelaksanaan Sistem Pengurusan Anti-Rasuah yang dipersijilkan dengan piawaian ISO 37001:2025.

“Langkah wajar juga telah diambil bagi memastikan perniagaan kumpulan itu dijalankan dengan integriti dan bebas daripada rasuah, kata kenyataan itu lagi.

Bagaimanapun, memandangkan perkara tersebut masih dalam siasatan, pihak syarikat tidak akan membuat sebarang ulasan lanjut pada peringkat ini namun akan memberikan perkembangan terkini mengikut keperluan undang-undang dan peraturan.

IJM yang ditubuhkan pada 1983 merupakan antara konglomerat terkemuka di Malaysia dengan permodalan pasaran sekitar RM9.96 bilion.

Setakat September 2025, kumpulan itu mempunyai jumlah aset bernilai RM22.1 bilion dan menggaji sekitar 3,500 kakitangan.

Kekukuhan aset dan struktur tadbir urus bertaraf antarabangsa itu dilihat sebagai penampan utama dalam memastikan kestabilannya di tengah-tengah isu yang melanda.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button