PAC akan siarkan nama pegawai enggan hadir prosiding siasatan
CYBERJAYA – Nama-nama saksi, termasuk Pegawai Pengawal dan Ketua Setiausaha (KSU) yang enggan hadir pada prosiding siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan disiarkan kepada umum supaya rakyat tahu individu terbabit tidak mahu memberi kerjasama.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, majoriti prosiding diadakan pihaknya ada melibatkan saksi yang terdiri daripada bekas pegawai tinggi kerajaan terutamanya Pegawai Pengawal dan KSU.
Hal sedemikian adalah bagi memastikan segala isu yang dibangkitkan ketika sesuatu prosiding terutama membabitkan hal dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mendapat penjelasan dan keterangan sewajarnya daripada semua pihak berkepentingan.
“PAC mengambil maklum bahawa tempoh perkhidmatan Pegawai Pengawal dan KSU yang dilaporkan dalam LKAN biasanya melangkaui Pegawai Pengawal dan KSU sedia ada, hingga menyebabkan mereka gagal memberikan penjelasan terhadap isu-isu yang didapati kerana ia berlaku bukan pada tempoh perkhidmatan mereka.
“Justeru, adalah amat penting untuk semua Pegawai Pengawal dan KSU bertanggungjawab terhadap PAC seperti termaktub dalam Arahan Perbendaharaan (Pindaan 2023) dengan memastikan kehadiran semua saksi termasuk bekas Pegawai Pengawal dan KSU apabila dipanggil oleh menghadiri prosiding.
“PAC ingin menegaskan bahawa kesemua bekas Pegawai Pengawal dan KSU perlu bertanggungjawab dan hadir bagi menjelaskan mengenai isu-isu yang timbul semasa mereka menerajui Kementerian, Jabatan atau Agensi Kerajaan terbabit,” kata Mas Ermieyati dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelasnya, ketidakhadiran bekas Pegawai Pengawal dan KSU akan menyebabkan laporan PAC tidak komprehensif.
“Keengganan mantan Pegawai Pengawal dan KSU untuk hadir ke prosiding PAC merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 9 (a) Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Akta 347) dan secara tidak langsung memberikan gambaran bahawa terdapat perkara yang ingin disembunyikan.
“Pada masa sama, PAC menuntut Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) mengambil maklum sekiranya ada, bekas Pegawai Pengawal dan KSU yang enggan hadir dalam prosiding jawatan kuasa ini,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













