JENAYAH & MAHKAMAH

Penganggur maut ditikam

JASIN – Seorang penganggur maut akibat ditikam dalam pergaduhan dipercayai berpunca daripada urusan jual beli rokok elektronik atau vape berperisa ‘mushroom’ di taman permainan Taman Muhibbah Merlimau, di sini malam semalam.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, mangsa yang berusia 30 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Melaka akibat kecederaan tikaman di belakang badan hingga menembusi paru-paru kanan.

Beliau memberitahu, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu selepas dua mangsa dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.

Siasatan awal mendapati, kejadian dipercayai berlaku kerana perselisihan faham berkaitan urusan jual beli vape berperisa mushroom.

“Siasatan mendapati salah seorang mangsa telah menegur dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada seorang suspek sebelum berlaku pergaduhan.

“Suspek kemudian menyerang kedua-dua mangsa menggunakan pisau, manakala beberapa lagi suspek bertindak memukul mangsa menggunakan tangan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau menambah, kedua-dua mangsa sempat melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Perodua Bezza dan mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Merlimau sebelum dirujuk ke Hospital Melaka.

“Bagaimanapun, salah seorang mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 1.26 tengah hari tadi ketika menerima rawatan. Polis berjaya menahan empat lelaki berusia antara 20 hingga 35 tahun dalam serbuan berasingan sekitar Merlimau awal pagi tadi bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau selanjutnya memberitahu, hasil semakan mendapati beberapa suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan narkotik selain dua daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button