BISNES & EKONOMI

Kopi Hut perluas pensijilan halal, kini miliki 30 premis seluruh negara

CYBERJAYA – Kopi Hut kini dalam proses mendapatkan sijil pengesahan halal bagi tiga lagi cawangannya di Lembah Klang selepas cawangan pertamanya di Cheras berjaya memperoleh pengiktirafan berkenaan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Pemilik dan pengasas rangkaian Kopi Hut, Adam Corrie Lee, 57, berkata, kejayaan itu dicapai selepas setahun persediaan bagi memastikan operasi perniagaan mematuhi keperluan halal, termasuk aspek kebersihan dapur, pemahaman pekerja dan penggunaan bahan masakan.

Menurutnya, permohonan sijil halal sebelum ini pernah terbatal akibat kesilapan teknikal apabila berlaku salah faham dalam kalangan pekerja mengenai prosedur penambahan bahan masakan yang tidak disenaraikan dalam permohonan awal.

“Contohnya, apabila ada penambahan bahan seperti belacan yang tiada dalam senarai permohonan awal, permohonan kita terpaksa dibatalkan dan perlu dimohon semula dari awal.

“Namun selepas pencerahan diberikan kepada semua pekerja, Alhamdulillah akhirnya permohonan kami diluluskan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Halal Kopi Hut di Cyberjaya, baru-baru ini.

Tiga cawangan yang sedang dalam proses permohonan sijil halal itu ialah Seri Perdana Gombak, Taman Sri Gombak (TBG) dan Sri Rampai.

Adam berkata, usaha mendapatkan pengesahan halal itu penting bagi meningkatkan keyakinan pelanggan daripada semua latar belakang, selain mengelakkan sebarang pertikaian terhadap status halal premis berkenaan.

“Alhamdulillah, pelanggan Muslim memang sedia tahu saya seorang Islam dan sentiasa memberi sokongan.

“Namun, sebagai usahawan, saya memikul tanggungjawab besar untuk memastikan premis ini benar-benar diyakini. Tambahan pula, saya mempunyai rakan kongsi bukan Muslim.

“Sijil halal ini penting supaya tiada sebarang isu timbul atau pertikaian daripada masyarakat,” katanya.

kopi hut
Pemilik dan pengasas rangkaian restoran kopitiam Kopi Hut, Adam Corrie.

Beliau berkata, rakan kongsi bukan Islamnya turut menghormati dan bersetuju dengan pelaksanaan perniagaan mengikut saluran serta prinsip Islam.

Sebagai rekod, Kopi Hut kini mempunyai 30 cawangan secara keseluruhan.

Dalam aspek pengurusan pekerja, Adam menegaskan kebajikan kakitangan, termasuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), menjadi keutamaan yang tidak boleh dikompromi.

“Caruman KWSP dan SOCSO itu wajib. Setiap kali potongan dibuat, kita akan berikan resit sebagai bukti supaya mereka tahu status kewangan mereka,” katanya.

Beliau turut menetapkan supaya pekerja Muslim diberi ruang menunaikan solat dan diwajibkan menunaikan solat Jumaat, termasuk menutup premis selama dua jam sekiranya tiada pekerja wanita yang boleh bertugas ketika itu.

Selain itu, Adam berkata, perniagaan berkenaan diwajibkan membayar zakat tanpa mengira jumlah keuntungan yang diperoleh.

Mengulas prestasi jualan, beliau berkata hidangan Chinese Mee Kari menjadi menu paling laris Kopi Hut dengan jualan melebihi 500,000 mangkuk selepas melalui proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menyesuaikannya dengan cita rasa masyarakat tempatan.

Dalam perkembangan berkaitan, Lapar Battle powered by Kopihut berlangsung dari 23 hingga 25 Oktober lalu di DPULZE Cyberjaya bersempena pelancaran halal Kopihut.

Pertandingan itu menghimpunkan enam jenama pencuci mulut tempatan untuk merebut gelaran Juara Lapar Battle 2026 dengan hadiah utama bernilai RM10,000.

Acara anjuran VC Maju Kreatif dengan Kopihut sebagai penaja utama itu turut mendapat kerjasama Lapar Society, Hot FM dan Kool FM, selain menampilkan konsert mini Drama Band serta sesi Halal Talk.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button