BERITA SEMASADALAM NEGERI

JAKIM nafi punca kelewatan sijil halal HCTM

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menafikan dakwaan yang menyatakan pihaknya menjadi punca kelewatan dalam isu sijil halal berkaitan kontrak katering bernilai RM25.64 juta di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM).

Menurut Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee, siasatan yang dijalankan mendapati wujud salah faham mengenai individu yang dilantik sebagai pegawai bertanggungjawab (PIC) dalam permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

“Individu yang dianggap sebagai PIC itu sebenarnya merupakan pegawai syarikat katering, bukan daripada JAKIM. Beliau sedang bercuti bersalin dan syarikat telah mencalonkan pengganti.

“Bagaimanapun, individu pengganti perlu melalui latihan terlebih dahulu sebelum melaksanakan tugas sebagai Eksekutif Halal,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya lagi, pihak JAKIM telah mengadakan pertemuan dengan pihak hospital tersebut untuk mendapatkan maklumat lanjut serta memberi penjelasan yang lebih jelas bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dan untuk memperkukuh kefahaman antara kedua-dua pihak.

“Pihak kami sentiasa memastikan prosedur SPHM dilaksanakan secara telus dan berintegriti mengikut piawaian yang ditetapkan,” ujar Dr. Sirajuddin.

Beliau turut menyatakan bahawa pihak hospital memberikan jaminan untuk terus mematuhi semua prosedur pensijilan halal demi kemaslahatan ummah.

Baca juga : LKAN dedah HCTM beri kontrak RM25.64 juta kepada syarikat tiada sijil halal JAKIM

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 yang diterbitkan baru-baru ini melaporkan bahawa HCTM telah menganugerahkan kontrak katering bernilai RM25.64 juta kepada syarikat yang dikenali sebagai 0267299-T, walaupun syarikat tersebut tidak mempunyai sijil halal yang sah daripada JAKIM.

Menurut laporan tersebut, syarikat berkenaan telah dianugerahkan kontrak untuk membekalkan makanan kepada pesakit hospital berkenaan selama tiga tahun, bermula Februari tahun lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button