
JAKIM diarah pendekkan tempoh perolehan sijil halal – Ahmad Zahid
JOHOR BAHRU – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diarahkan supaya memendekkan tempoh perolehan sijil halal daripada 23 hari kepada 15 hari.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, arahan itu tidak mustahil dilaksanakan kerana JAKIM sebelum ini telah berjaya memendekkan tempoh proses pensijilan halal daripada 30 hari kepada 23 hari tahun lalu.
“Ini merupakan kejayaan cukup baik dan tentunya selepas Halal On Track (HOT) ini dilancarkan, diharapkan lebih banyak kelulusan permohonan sijil halal dapat diluluskan.
“Saya sudah arahkan MARA memperuntukkan RM5 juta setahun untuk bantu pemohon (persijilan halal) mengikuti modul bimbingan JAKIM supaya permohonan persijilan halal dapat dikeluarkan dalam tempoh masa singkat.
“Sekiranya JAKIM dibantu dengan model bimbingan ini sudah pasti sijil halal dapat diberi kelulusan bukan setakat 23 hari malah saya cabar JAKIM dapat keluarkan (sijil halal) dalam tempoh 15 hari bekerja selepas ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan program Halal On Track di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor Bahru, di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Pada 13 Oktober tahun lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan memendekkan tempoh memproses pensijilan halal kepada 30 hari daripada 51 hari sebelum ini.
Kata Anwar, Halal Development Corporation (HDC) bersama JAKIM akan menerajui usaha memudah cara pemprosesan pensijilan halal khususnya untuk pengeksport produk halal.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








