80 murid tidak layak duduki UPKK kerana sekolah tidak berdaftar dengan JAIS
PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menjelaskan bahawa Sekolah Rendah Islam Al-Afsari di Saujana Putra, Puchong, Selangor belum berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan beroperasi tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, situasi itu menyebabkan sekolah berkenaan tidak memenuhi kriteria pendaftaran sekolah agama Islam swasta di Selangor seperti yang diperuntukkan di bawah Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam Negeri Selangor 1988.
Menurut beliau, perkara itu antara punca seramai 80 murid dari sekolah berkenaan tidak dapat menduduki Ujian Penilaian al-Quran dan Fardhu Ain (UPKK) Tahun 2025.
“JAKIM amat memahami kegusaran ibu bapa serta murid yang terlibat memandangkan UPKK merupakan antara pentaksiran penting dalam menilai kefahaman dan penghayatan asas-asas Islam pelajar KAFA di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, JAKIM menerima surat rayuan daripada pihak sekolah pada 15 Oktober lalu bagi memohon pertimbangan agar murid terbabit dibenarkan menduduki peperiksaan tersebut, namun semakan mendapati mereka tidak didaftarkan sebagai calon rasmi melalui Sistem Maklumat Pendidikan Islam (SIMPENI).
Susulan itu, JAKIM telah mengadakan semakan silang dan perbincangan bersama JAIS yang kemudian mengesahkan status sekolah berkenaan.
“Dalam pertemuan rasmi dengan pihak sekolah pada 3 November, JAKIM menjelaskan bahawa peperiksaan UPKK dilaksanakan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) peperiksaan peringkat kebangsaan yang ditetapkan oleh Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) dan tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi 1942 bagi menjamin integriti peperiksaan,” katanya.
Ujian bertulis UPKK dijadualkan berlangsung pada 17 hingga 20 November 2025 manakala Ujian Amali Solat dan Penghayatan Cara Hidup Islam (PCHI) serta ujian lisan al-Quran (UPKK01) telah selesai dijalankan antara April hingga Oktober lalu.
Sehubungan itu, JAKIM menasihati pihak sekolah berkenaan supaya segera mendapatkan tiga sokongan agensi berkaitan sebagaimana digariskan dalam Garis Panduan Pengurusan Am (Pendaftaran dan Penubuhan) bagi tujuan perakuan pendaftaran.
“Operasi tanpa pendaftaran sah adalah tidak dibenarkan. Pihak sekolah disaran mempertimbangkan langkah memindahkan murid ke sekolah berdaftar atau mendaftarkan mereka sebagai calon menumpang bagi peperiksaan UPKK,” tegasnya.
Pada masa sama, JAKIM menyeru ibu bapa agar lebih peka dan proaktif memastikan sekolah tempat anak-anak menimba ilmu berdaftar dengan pihak berkuasa agama negeri bagi menjamin kualiti pendidikan dan pengiktirafan sah terhadap sijil peperiksaan.
“JAKIM akan terus komited memperkukuh kerjasama dengan semua agensi agama negeri bagi memastikan setiap anak-anak Islam di negara ini mendapat pendidikan agama yang berkualiti, tersusun dan diiktiraf selaras dengan aspirasi Pendidikan Islam MADANI,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








