Insiden jemaah dihalau tidak wajar – JAKIM tegas soal adab
KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyifatkan tindakan menghalau seorang individu daripada berada di dalam surau selepas menunaikan solat Subuh sebagai sesuatu yang tidak wajar berlaku, apatah lagi ia melibatkan soal adab dalam menguruskan rumah ibadah umat Islam.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee menegaskan, insiden seperti itu mencerminkan kegagalan memahami peranan sebenar masjid dan surau sebagai institusi yang menjunjung nilai kasih sayang, toleransi dan hikmah selaras dengan prinsip Malaysia MADANI.

“JAKIM memandang serius kejadian ini kerana ia melibatkan aspek adab dan tatakelola yang amat penting dalam pentadbiran rumah Allah.
“Masjid dan surau bukan tempat untuk mengusir, sebaliknya ruang untuk menyantuni dan memupuk perpaduan dalam kalangan umat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian susulan insiden tular di media sosial membabitkan tindakan tidak beradab oleh pihak tertentu terhadap seorang jemaah yang berada di dalam surau selepas solat.
“Masjid dan surau merupakan institusi Rahmah yang bukan sekadar menjadi tempat menunaikan ibadah semata-mata, tetapi juga pusat pendidikan rohani, penyatuan masyarakat dan pembangunan komuniti,” katanya lagi.
Dr. Sirajuddin berkata, JAKIM menyambut baik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang menegur perbuatan berkenaan dan menzahirkan komitmen untuk mempergiatkan lagi program pendidikan dan advokasi kepada semua pihak terlibat dalam pengurusan institusi masjid.
“Pendekatan Masjid Rahmah yang dibawa oleh JAKIM menekankan penghayatan akhlak Islamiah, khususnya dalam menyantuni jemaah dengan belas ihsan dan hikmah.
“Rumah Allah seharusnya menjadi tempat yang tenang, damai dan menginsafkan, bukannya tempat yang membuat orang rasa dihakimi atau disisihkan,” jelas beliau.
JAKIM turut mengingatkan bahawa pendekatan keras dan tidak beradab bukan sahaja mencemarkan nama baik institusi Islam, malah bertentangan dengan ajaran agama yang menitikberatkan rahmah dan kesantunan dalam bermuamalah.
“JAKIM akan terus memperkukuh libat urus bersama pengurusan masjid, institusi agama negeri dan masyarakat awam bagi memastikan nilai keterangkuman dan adab tinggi terus disuburkan dalam pentadbiran rumah ibadah di negara ini,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







