AGAMABERITA SEMASA

Artis perlu hormati batas kesopanan Islam, budaya Malaysia – JAKIM

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bayan Linnas Siri Ke-330 terbitan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan garis panduan pakaian bagi artis wanita menurut Islam, susulan kebimbangan masyarakat terhadap trend penampilan melampau atas nama seni.

Pejabat Mufti menjelaskan bahawa pemakaian wanita Muslim bukan sekadar soal budaya atau kecantikan sebaliknya tuntutan syarak yang bertujuan menjaga maruah, kehormatan dan kemaslahatan masyarakat.

Fenomena artis tampil dengan pakaian yang terlalu seksi dan mencolok mata, menurut kenyataan itu semakin meresahkan kerana artis adalah figura awam yang menjadi ikutan serta membawa imej negara.

“Pakaian bukan hanya gaya tetapi cerminan nilai, moral dan identiti seseorang lebih-lebih lagi bagi mereka yang berada di mata masyarakat,” menurut kenyataan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan itu.

Artikel itu turut menggariskan panduan berpakaian yang perlu dipatuhi artis wanita.

Antaranya ialah menutup aurat dengan sempurna, pakaian tidak ketat dan tidak menampakkan bentuk tubuh, pakaian tidak jarang atau nipis, tidak menyerupai pakaian lelaki, tidak menyerupai pakaian agama lain atau golongan fasik serta tidak berlebihan menarik perhatian (tabarruj).

Ustazah Asma Dolla
Tangkap layar status teguran pendakwah, Ustazah Asma Harun terhadap kumpulan Dolla yang disifatkan melampaui batas atas nama seni. – Foto Facebook Ustazah Asma Harun

Kenyataan itu turut menegaskan bahawa artis sama ada Muslim atau bukan Muslim wajib menjaga penampilan kerana mereka membawa imej diri, masyarakat dan negara selaras dengan budaya Malaysia yang menekankan nilai sopan dan harmoni.

Pejabat Mufti turut mengaitkan prinsip kelima Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan sebagai asas etika yang perlu dipelihara semua figura awam termasuk artis.

“Apabila artis melanggar batas kesopanan atas alasan seni, ia bukan sahaja memberi kesan kepada diri mereka tetapi turut menggambarkan nilai masyarakat Malaysia secara keseluruhan,” menurut kenyataan itu.

Pejabat Mufti Wilayah dalam kenyataan sama menegaskan bahawa kreativiti tidak memerlukan pendedahan tubuh, sebaliknya keanggunan dan profesionalisme boleh terserlah melalui penampilan elegan yang menghormati norma serta nilai moral negara.

Terdahulu, golongan agamawan tampil menegur kumpulan Dolla yang disifatkan keterlaluan dalam aksi muzik video terbaharu mereka bertajuk ‘Questions’.

Semalam, syarikat rakaman Universal Music bertindak menurunkan muzik video tersebut kerana menghormati teguran berkenaan walaupun ia telah meraih jutaan tontonan di platform YouTube.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button