BERITA SEMASADALAM NEGERI

JAKIM nafi kaitan dengan sindiket Tabung Musa’adah

PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan pihaknya tidak pernah melantik atau menjalin kerjasama dengan mana-mana individu atau pihak ketiga, termasuk syarikat HubSpot Inc., bagi mewakili agensi itu mengutip sumbangan melalui Tabung Musa’adah JAKIM–Yayasan Wakaf Malaysia (YWM).

Kenyataan itu dikeluarkan JAKIM hari ini, selepas menerima aduan awam mengenai kewujudan sindiket penipuan yang menggunakan nama Tabung Musa’adah secara tidak sah bagi tujuan kutipan dana.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, pihaknya memandang serius perkara tersebut dan telah mengambil tindakan segera.

Sirajuddin menegaskan JAKIM telah membuat laporan polis dan MCMC mengenai perkara tersebut. 

“JAKIM telah membuat laporan polis dan turut memaklumkan perkara ini kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk siasatan lanjut serta tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang bentuk permintaan sumbangan yang meragukan, terutamanya yang mendakwa mewakili agensi agama seperti JAKIM.

“Perlakuan tidak bertanggungjawab seperti ini mencemarkan nama baik institusi agama dan menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap usaha murni membantu golongan memerlukan,” tegasnya.

JAKIM menyatakan Kerajaan MADANI sentiasa komited dalam memastikan tiada rakyat yang menjadi mangsa penipuan atau penganiayaan seumpama itu.

“Kami akan terus berusaha membanteras segala bentuk penindasan demi menjamin kehidupan rakyat yang sejahtera, aman dan harmoni,” ujar Sirajuddin.

Orang ramai yang menerima maklumat mencurigakan berkaitan kutipan atas nama Tabung Musa’adah disaran segera melaporkannya kepada pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang penipuan lanjut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button