305 graduan dirai dalam Istiadat Konvokesyen IPDAS ke-19
KOTA KINABALU – Seramai 305 graduan diraikan dalam Majlis Istiadat Konvokesyen Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS) ke-19 yang berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini, hari ini.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, konvokesyen itu bukan sahaja meraikan pencapaian akademik malah menjadi simbol dedikasi dan usaha semua pihak yang terlibat.
“JAKIM berbangga dengan kejayaan para graduan dan berharap mereka akan terus menyumbang kepada masyarakat serta mengharumkan nama institusi,” katanya dalam satu kenyataan.
Majlis penuh bermakna itu meraikan kejayaan graduan daripada tiga program pengajian iaitu Diploma Dakwah Islamiah (DDI), Sijil Pengajian Islam (SPI) dan Sijil Asas Pengajian Islam Malaysia (SAPIM).
Daripada jumlah tersebut, 97 orang adalah graduan DDI, 28 orang graduan SPI dan 167 orang graduan SAPIM Kampus Kudat, termasuk 13 graduan dari lokasi tambahan di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.
Sejak ditubuhkan, IPDAS telah melahirkan seramai 16,327 graduan yang kini berkhidmat dalam pelbagai bidang, khususnya dakwah.
Istiadat tahun ini disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
Turut hadir meraikan hari bersejarah itu ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; ahli-ahli Lembaga dan Jawatankuasa Penasihat Akademik (JKPA), pengarah-pengarah jabatan serta tetamu kehormat daripada pelbagai agensi.
Majlis turut menyaksikan penyampaian beberapa anugerah khas kepada graduan cemerlang, termasuk Anugerah Pingat Emas Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Anugerah Ketua Menteri Sabah, Anugerah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Anugerah Ketua Pengarah JAKIM, Anugerah Yang di-Pertua MUIS dan Anugerah Alumni IPDAS.
Konvokesyen IPDAS ke-19 ini sekali lagi membuktikan peranan institusi tersebut dalam melahirkan tenaga mahir dan berilmu dalam bidang dakwah serta pengajian Islam di Sabah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








