Jururawat parah ditikam suami enam kali di badan, leher
KOTA BHARU – Seorang jururawat cedera parah selepas ditikam enam kali oleh suaminya dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Padang Lepai, dekat Kadok, di sini malam kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 8.30 malam itu, mangsa berusia 44 tahun mengalami kecederaan tikaman pada badan dan leher sebelum dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk menerima rawatan.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
Menurutnya, polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada malam sama sebelum menahan suami mangsa yang berusia 47 tahun selepas lelaki berkenaan menyerah diri.
“Suspek direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan.
“Motif kejadian masih belum dikenal pasti,” katanya memetik laporan Metro Online.
Beliau berkata, polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata berbahaya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








