BERITA SEMASA

KPM sedia hadapi kemasukan murid enam tahun sesi 2027

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan kesediaan dari segi guru dan prasarana bagi menghadapi kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun ke sekolah bagi sesi 2027.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, kementerian sentiasa memantau trend pendaftaran bagi memastikan keperluan tenaga pengajar serta kemudahan fizikal mencukupi sekiranya berlaku peningkatan jumlah murid.

Beliau berkata, sebanyak 677 projek pembinaan bilik darjah secara Sistem Binaan Berindustri (IBS) modular sedang dilaksanakan, membabitkan 1,478 bilik darjah tambahan baharu di 605 sekolah.

Katanya, jumlah itu turut ditambah dengan 1,514 bilik darjah tambahan yang disediakan melalui penukaran fungsi ruang sedia ada.

“Dari segi kesiapsiagaan kita, baik dari segi guru mahupun prasarana, kita tersedia.

“Namun, kita akan terus membuat pemantauan dari semasa ke semasa,” katanya ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut beliau, KPM tidak menjangkakan berlaku peningkatan mendadak pendaftaran dalam tempoh dua bulan terakhir berdasarkan trend yang direkodkan sejak kira-kira tiga bulan lalu hingga kini.

Katanya, trend pendaftaran dalam tempoh berkenaan adalah hampir sama dan kementerian menjangkakan kemudahan yang disediakan ketika ini mencukupi berdasarkan kadar pendaftaran semasa.

Dalam pada itu, beliau berkata, Selangor mencatat jumlah pendaftaran tertinggi, manakala pecahan penuh mengikut negeri akan diserahkan kepada Ahli Parlimen yang mengemukakan soalan.

Wong berkata, bagi tahun pertama pelaksanaan kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun, KPM memberi pilihan kepada ibu bapa untuk menentukan sama ada anak masing-masing bersedia memasuki alam persekolahan pada usia berkenaan.

“Untuk tahun pertama ini, kita berikan peluang dan juga pilihan kepada ibu bapa kerana ibu bapalah yang paling memahami keadaan dan kesediaan anak masing-masing.

“Inilah pendekatan yang digunakan oleh KPM, iaitu memberikan pilihan kepada ibu bapa,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan itu mengambil kira faktor yang mungkin menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa berhubung tahap kesediaan anak serta kesiapsiagaan sistem pendidikan.

Menurutnya, KPM telah melaksanakan pelbagai persediaan sejak awal tahun termasuk dari aspek sumber manusia, latihan guru dan peningkatan infrastruktur.

“Kita percaya dengan pelaksanaan yang sempurna dan baik pada 2027, kita menjangkakan pendaftaran bagi kohort enam tahun akan bertambah pada tahun-tahun akan datang,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button