Pemuda BN tolak cadangan sertai GRS bentuk kerajaan Sabah
MELAKA – Pemuda Barisan Nasional (BN) menolak cadangan agar parti itu menyertai kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sebaliknya menegaskan BN wajar berperanan sebagai pembangkang yang konstruktif di negeri itu.
Ketua Pemudanya, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, BN boleh memainkan peranan pembangkang bersama Parti Warisan (WARISAN) dan Perikatan Nasional (PN) bagi membawa suara rakyat terus ke Dewan Undangan Negeri (DUN).
Beliau berkata, selepas hanya memenangi enam kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN),
kedudukan sebagai pembangkang bukan alasan untuk menyurutkan perjuangan, sebaliknya menjadi ruang untuk melakukan introspeksi dan pembaharuan parti.
“BN, WARISAN dan PN kekal di kerusi pembangkang dan peranan kita adalah menjadi pembangkang yang kuat, membawa isu rakyat dan mengimbangi segala tindakan kerajaan negeri,” kata Muhammad Akmal yang juga Ketua Pemuda UMNO dalam satu kenyataan hari ini.
Muhamad Akmal menegaskan, rakyat memerlukan pembangkang yang mampu merubah dan memperbaiki kelemahan demi memastikan keyakinan terhadap parti dapat dipulihkan.
“Kita terima kekalahan secara bermaruah dan kita perbaiki kelemahan kita. Hanya dengan itu rakyat boleh yakin semula dengan kita, sekali gus membolehkan BN kembali di hati rakyat,” katanya.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa kejayaan memperkukuh peranan pembangkang di Sabah boleh menjadi contoh perubahan lebih besar di peringkat nasional.
“Jika itu boleh berlaku di Sabah, ia juga boleh berlaku di peringkat Pusat. Dengar suara rakyat, Insya-Allah rakyat kembali percaya kepada kita,” katanya.
Pada PRN Sabtu lalu, BN hanya memenangi enam kerusi iaitu di DUN Sook, Lamag, Sukau, Kunak, Liawan dan Bengkoka.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kemudian menzahirkan komitmen untuk bekerjasama dengan parti sehaluan demi membentuk kerajaan Sabah.
Beliau berkata, pihaknya menghormati dan menerima keputusan PRN Sabah ke-17 yang menyaksikan seramai 596 calon bertanding sebagai suatu manifestasi kesuburan demokrasi di negeri itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








