Sambutan Hari Malaysia peringkat Sabah dibatalkan
Fokus usaha tangani banjir yang melanda tujuh daerah
KOTA KINABALU – Sambutan Hari Malaysia peringkat negeri Sabah yang dijadual berlangsung di Padang Merdeka malam esok, dibatalkan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pembatalan itu susulan bencana banjir besar yang melanda sekurang-kurangnya tujuh daerah akibat hujan berterusan.
Belai dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu sudah dimaklumkan kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman, hari ini.
“Keutamaan segera Kerajaan Negeri adalah untuk mengurus krisis, menyelaras usaha pemulihan serta memastikan operasi menyelamat dapat dilaksanakan dengan pantas bagi komuniti yang terjejas.
“Dalam waktu sukar ini, kesejahteraan, kebajikan dan keselamatan rakyat adalah paling utama. Segala fokus dan sumber mesti ditumpukan kepada mereka yang terkesan,” katanya dalam kenyataan tersebut, hari ini.
Berkenaan isu banjir berkenaan, beliau mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri supaya sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga dan bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan memandangkan cuaca buruk dijangka berlarutan.
Jawatankuasa yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong itu sudah mengadakan mesyuarat khas bagi memantau perkembangan semasa serta menyelaras tindakan segera di daerah-daerah terlibat.
Dalam masa yang sama, Hajiji menyeru rakyat supaya terus berwaspada, mematuhi arahan keselamatan dan memberi kerjasama penuh kepada pasukan penyelamat yang sedang giat menjalankan operasi di seluruh negeri.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








