Banjir: Keadaan tidak banyak berubah, hampir 300 mangsa di PPS
KUALA LUMPUR – Situasi banjir di Melaka, Pahang dan Johor dilaporkan masih terkawal,
namun belum pulih sepenuhnya apabila jumlah mangsa yang berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mencatat sedikit peningkatan kepada 292 orang setakat pagi ini, berbanding 256 orang malam tadi.
Di Melaka, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah penduduk terjejas meningkat kepada 36 orang daripada lapan keluarga, berbanding 34 orang pada malam sebelumnya.
“Kesemua mangsa ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Penghulu,” katanya.
Keadaan hampir sama dilaporkan di Pahang apabila jumlah mangsa banjir di Rompin bertambah kepada 84 orang daripada 23 keluarga, berbanding 49 orang daripada 13 keluarga malam semalam.
Mereka ditempatkan di PPS Kampung Setajam, menurut maklumat InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Sementara itu, di Johor, jumlah penduduk yang dipindahkan menunjukkan sedikit penurunan kepada 172 orang daripada 58 keluarga yang ditempatkan di tujuh PPS di daerah Segamat, berbanding 173 orang yang direkodkan sebelum ini.
Pengerusi JPBN Johor, Datuk Asman Shah Abd Rahman, memaklumkan dua sungai di Segamat masih berada pada paras bahaya, masing-masing Sungai Muar di Buloh Kasap dengan bacaan 8.89 meter dan Sungai Tekam di Jeti Sungai Tekam mencatat 4.13 meter, kedua-duanya menunjukkan trend menaik.
Dalam perkembangan berkaitan, satu laluan utama masih ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan iaitu di Felda Tenggaroh 3, Mersing susulan kejadian cerun runtuh.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








