BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Tragedi banjir: Wanita warga emas maut dihanyut arus deras

TANAH MERAH – Hajat seorang wanita untuk menghantar ibunya ke rumah saudara-mara tidak kesampaian apabila kereta yang dinaiki mereka terjerlus ke dalam lubang dan dihanyutkan arus deras di Kampung Batu 5, Jalan Jedok, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu, Siti Gayah Zakaria, 70, lemas dihanyut ke arah anak Sungai Batu 5, manakala anaknya, Shamila Suzie Ahmad Basharuddin, 48, selamat selepas bertarung nyawa di dalam air ketika cuba menyelamatkan ibunya.

Shamila Suzie berkata, dia terkilan kerana gagal menyelamatkan ibunya meskipun telah berjaya membuka pintu Proton Saga FLX yang dipandunya itu.

“Selepas beberapa kali menarik tangan ibu, saya sudah keletihan dan hanya mampu menyelamatkan diri sendiri.

“Saya kemudian meminta bantuan penduduk kampung untuk mencari ibu yang lemas,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Anggota bomba kemudian menjumpai jasad Siti Gayah sekitar pukul 7.49 pagi. Kereta yang dihanyutkan arus deras itu pula ditemukan tersangkut pada pembetung air di anak sungai berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Mohd Zulkifli Osman berkata, seramai enam anggota bomba bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 4.13 pagi dan operasi menyelamat dijalankan sehingga mangsa ditemui.

Menurut beliau, kematian warga emas itu merupakan kes kedua melibatkan mangsa lemas di Kelantan pada musim tengkujuh kali ini, selepas seorang wanita warga Indonesia maut dihanyut kepala air di Kampung Pulai, Gua Musang pada Khamis lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button