Bot terbalik ragut tiga nyawa, dua masih belum ditemui
SHAH ALAM – Tiga individu termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun disahkan maut, manakala dua lagi masih hilang selepas bot yang dinaiki terbalik di perairan Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang, petang semalam.
Menurut Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh, kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu membabitkan enam individu tempatan yang menaiki sebuah bot, namun hanya seorang daripada mereka yang berjaya diselamatkan.
“Siasatan awal mendapati bot berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbalik pada jarak lebih kurang 0.3 batu nautika dari barat Tanjung Harapan.
“Operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) yang dikendalikan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Selangor diteruskan pukul 7 pagi tadi selepas dihentikan sementara pada pukul 8 malam semalam berikutan faktor keselamatan.
“Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru mengaktifkan operasi Carilamat pada jam 5.16 petang selepas menerima maklumat berhubung kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dua mangsa yang masih hilang dikenal pasti sebagai Gan Hon Tat, 32 dan isterinya Careen Man, 29, masing-masing berasal dari Klang Utama. Pasangan itu dilaporkan berada di atas bot bersama anak mereka, Darren Gan, 3.
“Mayat Darren ditemui di bahagian hadapan bot bersama seorang lelaki dewasa, Cheu Son Hin, 50. Kedua-duanya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” jelasnya.
Seorang lagi mangsa, Fong Yong Sen, 29, turut ditemukan tidak bernyawa di kawasan berhampiran. Sementara itu, satu-satunya mangsa yang terselamat dikenali sebagai Chang Yan Qin Alvin, 17.
“Bot yang terbalik itu telah ditunda oleh sebuah bot penumpang lain dan dibawa ke jeti terapung Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk tindakan lanjut,” tambahnya.
Operasi mencari dua mangsa yang masih hilang melibatkan aset laut dan udara serta bantuan agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Pihak berkuasa menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk tampil membantu siasatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








