BERITA SEMASA

‘Saya nampak manusia yang menjaga seorang manusia sedang takut’ – Pesakit kanser puji doktor, kakitangan Hospital Seberang Jaya

KUALA LUMPUR – Seorang pejuang kanser mencuri perhatian warga maya apabila perkongsian kisah kebaikan doktor dan petugas kesihatan di Hospital Seberang Jaya ketika mendapatkan rawatan di sana baru-baru ini, tular di media sosial.

“Hospital kerajaan ni servis dia macam ni ke?”

Itu persoalan yang dimulakan Shakirah Md Din atau lebih dikenali sebagai Ceq Kyra selepas beliau melalui pengalaman di hospital kerajaan tersebut.

Menurut Ceq Kyra, apa yang mahu diketengahkan bukanlah mengenai prosedur CT scan yang terpaksa ditangguhkan, sebaliknya bagaimana petugas hospital terbabit memastikan keselamatan dan kebajikannya sebagai pesakit terus diberi perhatian.

Beliau berkata, semuanya bermula selepas memaklumkan kepada seorang jururawat bahawa dirinya mempunyai masalah alahan, ketika sudah selesai meminum satu cawan air kontras.

“Dia tak buat muka. Tak kata, ‘Ala, tak apa kot’. Tak juga terus buat keputusan sendiri atau buat donno sahaja.

“Puan tunggu sat, ya. Saya kena pergi jumpa doktor,” tulisnya menerusi perkongsian di Facebook.

Menurutnya, doktor kemudian datang dan bertanya secara terperinci mengenai sejarah alahan, reaksi yang pernah dialami serta makanan yang diambil sebelum itu.

Apa yang lebih dihargainya, doktor berkenaan tidak membuat keputusan secara tergesa-gesa, sebaliknya mendapatkan pandangan seorang lagi doktor sebelum menentukan tindakan seterusnya.

Ceq Kyra berkata, pada masa sama jururawat yang menguruskannya tetap datang menenangkan dirinya walaupun keadaan di hospital ketika itu sibuk dengan ramai pesakit.

“Tak apa puan. Duduk dulu ya,” tulisnya memetik kata-kata jururawat berkenaan.

netizen
Antara komen warga maya yang menghargai hantaran Ceq Kyra.

Akhirnya, CT scan beliau tidak diteruskan pada hari tersebut. Namun, menurut Ceq Kyra, urusannya tidak terhenti dengan hanya dimaklumkan supaya pulang.

Petugas hospital membantunya menguruskan tarikh baharu, menerangkan tindakan seterusnya dan memastikan urusan berkaitan keputusan pemeriksaan serta rawatan susulan difahami.

Lebih menyentuh hatinya apabila doktor terbabit turut menghubungi pihak farmasi terlebih dahulu untuk memaklumkan mengenai keadaannya.

Ketika berada di farmasi, jururawat berkenaan sekali lagi menghubunginya untuk memastikan beliau tidak terlepas menerima ubat yang diperlukan.

“Dia CARI aku. Dalam keadaan pesakit ramai, dia masih ingat ada seorang pesakit bernama Shakirah yang belum selesai urusannya,” katanya lagi.

Bagi Ceq Kyra, perhatian sedemikian mungkin kelihatan kecil kepada sesetengah pihak, namun amat bermakna kepada seseorang yang sedang berdepan ketakutan, keletihan dan emosi yang tidak menentu akibat penyakit.

Beliau turut mengakui sering mendengar pelbagai cerita mengenai perkara yang tidak kena dengan hospital kerajaan, namun memilih untuk menulis mengenai perkara yang dilakukan dengan baik oleh petugas kesihatan yang ditemuinya.

“Aku nampak petugas yang tak mengambil mudah soal keselamatan pesakit.

“Aku nampak doktor yang sanggup mendapatkan pandangan kedua sebelum membuat keputusan.

“Aku nampak misi yang tetap bercakap dengan senyuman walaupun pesakit ramai.

“Aku nampak komunikasi antara doktor, jururawat dan farmasi yang memudahkan urusan aku,” katanya.

Menurutnya, pengalaman itu membuatkan beliau melihat petugas kesihatan bukan sekadar menjalankan tugas, tetapi turut berusaha menjaga seorang manusia yang sedang berada dalam keadaan takut.

“Kadang-kadang kita tak mampu membalas kebaikan orang. Kita cuma mampu mendoakan semoga Allah membalas kebaikan itu kembali kepada mereka.

“Dan hari ini aku memilih untuk menuliskannya,” katanya.

Ceq Kyra turut mengajak orang ramai berkongsi pengalaman menerima layanan baik daripada doktor, jururawat atau mana-mana petugas hospital kerajaan.

Perkongsian beliau mengenai layanan doktor, jururawat dan pegawai farmasi ketika menguruskan prosedur imbasan CT menerima lebih 3,000 reaksi, 421 komen dan 325 perkongsian semula di Facebook.

Menjengah ke ruangan komen, ramai kakitangan kesihatan meninggalkan kata-kata positif terhadap hantaran tersebut.

“Terima kasih Puan Ceq Kyra. Disebabkan 1 posting puan, seluruh warga kerja #KKM berasa bangga. Jarang sangat pesakit nak menulis kebaikan. Hanya kami dapat sebaliknya. Itulah Gomen (kerajaan). Not simply give treatment to patient. Kesabaran yang tinggi amat-amat diperlukan. Demi mendapat perawatan yang terbaik untuk pesakit. Again … terima kasih puan,” tulis Nur Daya.

“Kak tolong buat SISPA penghargaan kepada mereka. Bantu naikkan semangat mereka berkerja. Sekarang emosi mereka letih dengan terlalu banyak tohmahan dan hinaan dari public yang bermata lalat,” komen Kuzie Kudin pula.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button