BERITA SEMASA

Polis didakwa tampar lelaki dipercayai mabuk dikecam netizen

KUALA LUMPUR – Aktivis pendidikan, Cikgu Mohd Fadli Salleh menyifatkan reaksi rakyat Malaysia terhadap video tular yang memaparkan seorang anggota polis didakwa menampar seorang lelaki dipercayai mabuk sebagai bukti nilai kemanusiaan masih kukuh dalam masyarakat tanpa mengira kaum atau agama.

Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau berkata video yang meraih jutaan tontonan itu memaparkan seorang lelaki terbaring di tepi longkang sebelum didatangi seorang individu memakai vest polis yang didakwa menampar mangsa dan kemudian beredar, manakala seorang lagi individu merakam kejadian tersebut.

Menurutnya, lelaki berkenaan dilihat terkejut sebelum berkata, “Jangan pukul saya,” namun individu yang merakam video berkenaan didakwa menjawab bahawa mangsa terjatuh sendiri.

Mohd Fadli berkata, tindakan anggota terbabit menerima kecaman meluas daripada orang ramai di media sosial, termasuk daripada pengguna media sosial Melayu yang menurutnya tidak mempertahankan perbuatan tersebut walaupun anggota berkenaan dipercayai berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Beliau turut mendakwa lelaki yang menjadi mangsa dipercayai berbangsa India dan berada dalam keadaan mabuk ketika kejadian.

“Bila benda salah, orang tak sokong walau yang buat itu dari kaum sendiri dan saudara seagama. Sifat kemanusiaan dalam diri rakyat Malaysia masih menebal,” katanya.

Mohd Fadli turut mengaitkan sentimen sama dengan beberapa insiden lain yang pernah tular sebelum ini apabila masyarakat mengecam pihak yang melakukan kesalahan tanpa dipengaruhi faktor kaum atau agama.

“Peri kemanusiaan ini merentasi kaum, agama, mahu pun bangsa. Yang dianiaya, ramailah akan back up. Yang menzalimi, ramailah akan kecam,” katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan individu yang diberikan kuasa agar menggunakannya dengan penuh tanggungjawab dan tidak menyalahgunakannya sehingga menzalimi orang lain.

“Ada kuasa, gunalah untuk kebaikan, bukan untuk menganiaya. Kita bantu orang hari ini, esok lusa orang bantu kita atau keturunan kita pula.

“Kita aniaya orang hari ini, esok lusa orang aniaya kita atau anak-anak kita. Dunia ini berputar. Tak selamanya berada di atas,” tegasnya memberi ingatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button