Tahan lelaki bawa mayat wanita, anggota polis cedera ditembak
IPOH – Seorang anggota polis cedera selepas ditembak dan ditikam seorang lelaki yang dikesan membawa mayat wanita di dalam keretanya dalam kejadian di Simpang Pulai, awal pagi tadi.
Ketua Polis Perak, Noor Hisam Nordin berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 1.15 pagi itu suspek turut melarikan sepucuk pistol milik konstabel berusia 26 tahun berkenaan.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Polis Simpang Pulai yang menjalankan rondaan cegah jenayah mengesan sebuah kereta mencurigakan di kawasan Taman Desa Pakatan.
“Kereta itu enggan berhenti dan terus memecut, menyebabkan polis mengejarnya sebelum suspek memberhentikan kenderaan di kawasan kebun sawit.
“Pergelutan berlaku antara suspek dan anggota polis yang cuba menahannya sebelum suspek merampas pistol mangsa, melepaskan tembakan ke arah perut dan menikamnya,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, anggota polis berkenaan kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
Menurutnya, pemeriksaan terhadap kereta suspek menemui mayat seorang wanita di tempat duduk belakang yang identitinya masih belum dikenal pasti.
“Bedah siasat akan dijalankan di Unit Forensik HRPB bagi mengenal pasti identiti serta punca kematian wanita tersebut,” jelasnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302/307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Polis kini giat mengesan suspek dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Fadli Ahmad di talian 012-2500019 bagi membantu siasatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








