GEORGE TOWN – Polis menegaskan tiada amalan ‘double standard’ dalam tindakan penguatkuasaan terhadap dua kes kemalangan maut membabitkan pemandu warga emas yang tular di media sosial sejak kebelakangan ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata setiap keputusan yang diambil dibuat berdasarkan penelitian terhadap fakta setiap kes, termasuk faktor usia, tahap kesihatan serta keperluan rawatan suspek.
Menurutnya, dalam kes membabitkan pemandu kereta berusia 72 tahun, suspek mempunyai beberapa masalah kesihatan dan memerlukan rawatan berkala termasuk dialisis, justeru polis memberikan jaminan bagi memastikan rawatan dapat diteruskan.
“Setiap kes dinilai secara berasingan. Kalau kita tahan reman dan letakkan dalam lokap, timbul pula persoalan mengenai rawatan kesihatan yang perlu diterima suspek,” katanya.
Beliau menjelaskan, keadaan itu berbeza dengan satu lagi kes melibatkan pemandu van berusia 60 tahun yang didakwa melanggar seorang murid Tahun Dua sehingga maut.
Katanya, suspek dalam kes berkenaan berada dalam keadaan sihat dan atas pertimbangan itu polis memutuskan untuk mendapatkan perintah reman bagi membantu siasatan.
Penjelasan itu dibuat susulan pertikaian dalam media sosial berhubung tindakan berbeza yang diambil polis terhadap dua insiden berasingan, iaitu kes pemandu van yang menyebabkan kematian seorang murid sekolah rendah serta kes pemandu Proton X70 yang merempuh penunggang motosikal hingga maut.
Terdahulu, beliau merasmikan Karnival Pencegahan Jenayah Bersama Komuniti dan Majlis Peluncuran Taman Angkat Amanita Kontinjen Pulau Pinang di Padang Kawad Universiti Sains Malaysia, di sini, hari ini.