KPM umum 12 inisiatif Hari Guru, rekod kokurikulum manual dimansuhkan
IPOH – Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan 12 inisiatif sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-55 yang memberi tumpuan kepada aspek kebajikan, pengurangan beban tugas serta pembangunan profesional warga pendidik.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, antara inisiatif utama yang diumumkan ialah pemansuhan sistem perekodan kokurikulum secara manual bagi membolehkan guru memberi fokus sepenuhnya kepada proses pengajaran dan pembelajaran.
Menurut beliau, sekolah juga diberikan autonomi untuk menguruskan perekodan sebelum maklumat dimasukkan ke dalam Sistem Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).
“Selain itu, saya turut mengarahkan supaya sistem PAJSK disepadukan dengan Sistem Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) agar urusan menjadi lebih sistematik dan efisien.
“Hapus satu sistem, bermakna guru boleh lebih fokus kepada kelas dan murid,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-55 di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, pensijilan Google Certified Educator (GCE) Tahap 1 dan Tahap 2 akan diteruskan secara percuma kepada semua guru bagi memperkukuh literasi digital dalam kalangan pendidik.
Katanya, Malaysia kini diiktiraf sebagai negara nombor satu dunia dari segi jumlah pendidik bertauliah Google dengan 60,000 pemegang sijil Tahap 1 dan 33,000 pemegang sijil Tahap 2.
“Kos bagi setiap guru ialah RM40 untuk Tahap 1 dan RM100 bagi Tahap 2 dan semuanya ditanggung sepenuhnya,” katanya.
Beliau turut memaklumkan KPM memperkenalkan Hadiah Latihan Persekutuan khas kepada guru di kawasan pedalaman termasuk sekolah dalam hospital, sekolah terapung dan sekolah pedalaman.
Selain itu, Biasiswa Perguruan Persekutuan diperluaskan kepada pemimpin sekolah seperti guru besar, pengetua dan penolong kanan untuk melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana.
Bagi memperkasa pembelajaran digital, KPM turut memperkenalkan Projek Network Offline Digital Environment (NODE) yang membolehkan sesi pengajaran dan pembelajaran diteruskan tanpa capaian internet terutama di kawasan pedalaman.
Sebanyak RM1 juta diperuntukkan menerusi Yayasan Guru Tun Hussein Onn untuk pelaksanaan projek tersebut, manakala RM169 juta lagi disediakan bagi pembekalan peranti ke semua sekolah sebagai persediaan pelaksanaan kurikulum baharu pada 2027.
Menyentuh aspek kebajikan guru, kerajaan menyediakan tambahan RM100 juta bagi penyelenggaraan bilik guru menjadikan jumlah keseluruhan RM200 juta termasuk penyediaan penghawa dingin dan kemudahan sokongan lain.
Selain itu, sebanyak RM50 juta diperuntukkan bagi penyelenggaraan kuarters guru untuk memastikan keselesaan dan keselamatan tempat tinggal warga pendidik terus terpelihara.
Menurut Fadhlina, KPM turut melaksanakan Program PAKAT di peringkat prasekolah bagi memupuk budaya membaca menerusi kerjasama antara guru dan ibu bapa.
Katanya, sebanyak RM10.5 juta diperuntukkan bagi penyediaan bahan bacaan tambahan melibatkan 10,515 kelas prasekolah di seluruh negara.
“Sebanyak RM122.4 juta turut disalurkan terus ke sekolah bagi pelaksanaan program STEM dan TVET,” katanya.
Sebagai penghargaan kepada warga pendidik, Yayasan Guru Tun Hussein Onn turut menyediakan sumbangan RM1,000 kepada guru yang anak mereka memperoleh keputusan 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Dalam menghadapi cabaran kos sara hidup, KPM turut mengumumkan potongan 50 peratus sewaan kantin sekolah bagi tempoh enam bulan pertama untuk membantu pengusaha mengekalkan harga makanan yang berpatutan dan berkualiti.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








