BERITA SEMASADALAM NEGERI

Akademi Muezza perkenal Program Permata Madani, gabung sukan, akademik, agama

KUALA LUMPUR – Akademi Muezza akan memperkenalkan Program Permata Madani bermula Jun ini menerusi pendekatan pembangunan kanak-kanak yang menggabungkan elemen sukan memanah, akademik dan agama dalam satu ekosistem pembelajaran holistik.

Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Muezza, Abdul Halim Aliumar berkata, program berkenaan diwujudkan bagi membentuk pembangunan sahsiah, keyakinan diri dan penekanan kepada kemahiran komunikasi kanak-kanak seiring keperluan pendidikan semasa.

Menurut beliau, Akademi Muezza yang sebelum ini memfokuskan kepada pembangunan sukan khususnya melalui disiplin memanah dan renang kini memperluaskan peranannya dengan memperkenalkan dua teras baharu iaitu akademik dan pendidikan agama.

“Kami akan lancarkan dua teras ini serentak pada Jun depan. Untuk akademik, kami mulakan dengan program 3M iaitu mengira, menulis dan membaca.

“Namun ini bukan konsep tuisyen biasa. Kami mahu fokus kepada pembangunan keyakinan diri dan kemahiran komunikasi pelajar melalui pendekatan fun learning,” katanya ketika ditemui pada Konvokesyen Akademi Muezza, hari ini.

Majlis dirasmikan oleh Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam di Pusat Belia Antarabangsa, Cheras di sini, hari ini.

Abdul Halim Aliumar

Abdul Halim berkata, program tersebut akan menawarkan kelas Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Mandarin dalam suasana pembelajaran interaktif yang menggabungkan pelajar daripada pelbagai peringkat umur dan kemudahan sukan.

Katanya, pendekatan itu diyakini mampu mewujudkan proses perkongsian ilmu secara semula jadi selain membantu meningkatkan tahap keberanian pelajar untuk berinteraksi.

“Malah suasana pembelajaran juga lebih santai dan aktif termasuk elemen permainan, aktiviti memanjat dan pembelajaran secara praktikal.

“Kami turut bekerjasama dengan syarikat yang berpengalaman dalam pembangunan silibus sekolah swasta bagi mempercepat pembinaan modul kemahiran pembelajaran,” katanya.

Selain akademik, Abdul Halim berkata, teras agama akan diperkenalkan menerusi kerjasama dengan Yayasan Maghfirah melalui projek Sahabat Al-Quran, pembelajaran Al-quran dengan modul yang memfokuskan pendidikan, akhlak dan kepimpinan.

Reezal Merican Naina Merican (tengah) bersama Abdul Halim Aliumar (tiga dari kiri) pada Konvokesyen Akademi Muezza di Pusat Belia Antarabangsa, Cheras di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Akademi Muezza hari ini meraikan seramai 197 pelajar sempena konvokesyen pertama sejak penubuhannya tiga tahun lalu.

Menurut beliau, pelajar yang diraikan terdiri daripada peserta dalam kategori memanah beginner, intermediate dan advanced yang dipilih berdasarkan pencapaian sepanjang tahun lalu.

Katanya, Akademi Muezza ketika ini mempunyai tiga teras utama sukan iaitu memanah, renang dan bola sepak dengan jumlah keseluruhan pelajar melebihi 3,700 orang di seluruh negara.

“Setakat ini kami mempunyai kira-kira 37 studio dalaman dan lebih 40 lokasi luar termasuk sekolah serta padang bagi aktiviti latihan memanah dan sukan lain,” katanya.

Mengulas perancangan masa depan, Abdul Halim berkata, Akademi Muezza juga sedang berbincang dengan beberapa agensi kerajaan bagi membangunkan atlet elit mereka yang berpotensi mewakili negara ke pentas antarabangsa termasuk Olimpik.

“Kami sudah menghantar pasukan ke Indonesia dan berjaya muncul juara. Kini kami mahu mencari kesinambungan bersama kerajaan untuk membawa atlet elit Muezza ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button