KEMENTERIAN PERTAHANAN

HANRUH diperkenal melalui Program MADANI Rakyat 2025 di Melaka

JASIN – Kementerian Pertahanan (MINDEF) memperkenalkan konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) menerusi pendekatan Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) sempena Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 peringkat Melaka yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat di Politeknik Merlimau, di sini.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali berkata, konsep HANRUH bukan sahaja melibatkan tentera dan agensi keselamatan, tetapi turut menekankan penyertaan masyarakat, organisasi dan sektor swasta dalam memastikan keselamatan serta kedaulatan negara terjamin.

“Melalui PMR 2025 Melaka ini, kita ingin menyampaikan mesej bahawa keselamatan negara bukan hanya tanggungjawab pihak keselamatan semata-mata, sebaliknya seluruh masyarakat perlu memainkan peranan,” memetik laporan BH online.

Bertemakan ‘Aspirasi MADANI, Menjamin Pertahanan dan Kedaulatan Negara’, program anjuran Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Pejabat Perdana Menteri dengan kerjasama strategik MINDEF dan Kerajaan Negeri Melaka itu menampilkan pelbagai aktiviti komuniti, pameran agensi serta persembahan pertahanan.

Lokman berkata, lebih 150 program dilaksanakan sepanjang PMR 2025 Melaka bagi mendekati rakyat, termasuk Jualan Rahmah dan Jualan Agro MADANI bagi membantu masyarakat mendapatkan barangan keperluan asas pada harga lebih berpatutan.

“Terdapat juga diskaun bayaran saman hingga 50 peratus oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selain penukaran 3,500 unit topi keledar secara percuma,” katanya lagi.

Beliau berkata, karnival kerjaya turut dianjurkan oleh beberapa agensi kerajaan bagi membuka peluang pekerjaan kepada graduan universiti, manakala Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut memperkenalkan pelbagai kerjaya profesional termasuk doktor, jurutera, juruterbang dan cef untuk menarik minat golongan belia.

Dalam pada itu, MINDEF turut melaksanakan lima program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama masyarakat terpilih di Melaka sebagai sebahagian daripada usaha mendekati rakyat.

“Secara keseluruhan, kementerian menerima tambahan peruntukan sebanyak RM20 juta tahun ini berbanding RM10 juta tahun lalu bagi melaksanakan program CSR di seluruh negara,” katanya lagi.

Menurut beliau, Belanjawan 2026 turut memperuntukkan tambahan RM600 juta kepada MINDEF seperti diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap peranan kementerian itu dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Program PMR 2025 Melaka berlangsung dari 9 pagi hingga 11 malam pada hari Jumaat dan Sabtu, serta 9 pagi hingga 6 petang pada Ahad, memberi peluang kepada pelbagai kementerian dan agensi untuk mempamerkan inisiatif serta perkhidmatan digital masing-masing selain berinteraksi secara langsung dengan rakyat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button