Pendidikan tinggi bukan sekadar dapat sijil, bentuk insan berilmu – Adam Adli
MELAKA – Pendidikan tinggi tidak seharusnya dilihat sekadar laluan memperoleh sijil atau persediaan memasuki alam pekerjaan, sebaliknya berperanan membentuk individu berilmu, berfikiran kritis dan mempunyai kesedaran terhadap tanggungjawab dalam masyarakat.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim berkata, pendekatan itu selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan modal insan secara menyeluruh.
“Pendidikan tinggi bukan sekadar laluan untuk mendapatkan sijil atau persediaan alam pekerjaan semata-mata.
“Tetapi ia merupakan ruang penting untuk membina insan yang berilmu, berfikir dan mempunyai kesedaran terhadap peranan mereka dalam masyarakat,” katanya ketika merasmikan Program Outreach Bersasar Projek Lepas SPM peringkat Parlimen Hang Tuah Jaya di Sekolah Menengah Teknik Melaka, semalam.

Program yang menghimpunkan kira-kira 1,000 peserta itu dianjurkan bagi memperluaskan akses maklumat berkaitan peluang melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi khususnya kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, kerajaan turut memberi penekanan kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai laluan setanding dengan pendidikan akademik bagi memastikan tiada pelajar tercicir daripada peluang menyambung pengajian akibat kekurangan maklumat atau kekangan akses.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata agenda pendidikan percuma secara bersasar kini mula direalisasikan menerusi Biasiswa Anak eKasih PTPTN (BAeK PTPTN), yang menukarkan pinjaman pendidikan kepada biasiswa penuh untuk 10,000 pelajar yang layak di seluruh negara.
“Di Parlimen Hang Tuah Jaya sendiri, terdapat empat pelajar yang akan menerima manfaat ini. Insya-Allah, saya akan turun bertemu mereka bagi menyampaikan sendiri khabar gembira tersebut kepada para penerima.
“Kita berharap bantuan ini dapat memberi dorongan kepada mereka untuk terus cemerlang dalam pembelajaran tanpa dibebani hutang pendidikan pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan merapatkan jurang sosioekonomi dan memastikan akses pendidikan tinggi dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
Program berkenaan turut menampilkan pelbagai aktiviti interaktif yang menyasarkan Generasi Z, termasuk pameran daripada 20 agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), demonstrasi Robotic Dog, VR Edutainment serta aktiviti STEM seperti DIY Lilin Kreatif.
Turut diadakan perkhidmatan komuniti seperti gunting rambut percuma oleh Kolej Komuniti, selain sesi perkongsian bersama ikon UPUOnline, Bang Jieb dan Edufluencer, Cikgu Zeti bagi menyampaikan maklumat pendidikan tinggi secara lebih santai dan dekat dengan golongan pelajar.
Penganjuran program itu dijayakan menerusi kerjasama Jabatan Pendidikan Tinggi, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Kolej Komuniti Kota Melaka serta Sekolah Menengah Teknik Melaka.
Seramai 16 sukarelawan mahasiswa daripada Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) dan Yayasan Perkasa Siswa (YPS) turut terlibat dalam menjayakan program tersebut menerusi Khidmat MADANI: Misi Sukarelawan Siswa di Kampung Bukit Piatu.
Menurut penganjur, Projek Lepas SPM akan diperluaskan ke sekolah-sekolah lain di sekitar Hang Tuah Jaya pada masa hadapan bagi membantu lebih ramai pelajar merancang hala tuju pendidikan selepas tamat persekolahan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








