KPT jamin isu penuntut UMPSA hina Islam diselesai segera
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi jaminan isu membabitkan penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang disyaki menghina Islam di media sosial akan diselesaikan segera.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, orang ramai dinasihatkan supaya bertenang dan tidak mengambil sebarang tindakan luar jangka dalam memberi reaksi terhadap insiden berkenaan.
Menurut beliau, tindakan pelajar terbabit mampu mengundang kegusaran, khususnya ketika umat Islam sedang menjalani ibadah puasa.
Tegasnya, kerajaan dan KPT tidak akan mengambil mudah perkara itu kerana ia merupakan tindakan serius serta tidak beradab.
“Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) sudah membuat laporan dan polis sudah menjalankan siasatan ke atas penuntut terbabit. Sebarang tindakan lanjut di peringkat KPT akan diperincikan selepas siasatan selesai.
“Kerajaan dan KPT tidak akan mengambil mudah perkara seperti ini kerana perbuatan terbabit akan menyebabkan keadaan tidak harmoni dalam masyarakat berbilang bangsa di negara ini.
“Kita juga akan mengambil langkah bagi memastikan tindakan ini tidak dimanipulasi oleh mana-mana pihak yang dikhuatiri akan mengeruhkan lagi suasana,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.
Baca juga : Kementerian Perpaduan pandang serius isu pelajar hina Islam
Terdahulu, media melaporkan pelajar UMPSA yang disyaki menghina Islam di laman sosial ditahan polis pagi tadi.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana menghina agama lain serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sejak semalam, tular gambar kaki seorang lelaki dewasa memijak al-Quran serta tangkap layar hantaran individu yang didakwa penuntut UMPSA di media sosial.
Turut tersebar gambar lelaki terbabit dan tangkap layar komen menghina Nabi Muhammad SAW.
Mengulas sama ada penuntut itu akan dikenakan tindakan gantung pengajian atau dibuang dari UMPSA, Zambry menjelaskan perincian mengenainya akan dibuat selepas KPT menerima penjelasan lanjut.
“Kita akan dapatkan laporan daripada pihak polis terlebih dahulu untuk mengenal pasti apakah perkara yang dilakukan sebenarnya.
“Ini kerana, berdasarkan maklumat sedia ada, kita mendapati laporan berkenaan daripada media sosial. Justeru, pihak universiti mengambil tindakan segera membuat laporan polis terlebih dahulu,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








