
Jangan tolak kemasukan pelajar miskin, tidak mampu bayar yuran – PM
PUTRAJAYA – Semua universiti awam di negara diarahkan untuk tidak menolak kemasukan pelajar miskin atau mereka yang tidak mampu untuk membayar yuran pendaftaran pengajian.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, arahan yang pertama kali dibuat dalam sejarah negara itu bertujuan memastikan pelajar mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.
“Saya bagi arahan tidak ada universiti yang boleh menolak mana-mana pelajar miskin, mesti daftar bagi nama (pelajar) dan kementerian atau jabatan harus selesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di Dewan Utama, Kementerian Kewangan di sini, hari ini.
Pada pembentangan belanjawan 2024, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan sebanyak RM16.3 bilion bagi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Selain itu, bermula Januari 2024, yuran pendaftaran memasuki universiti awam dihadkan tidak melebihi RM1,500 dan pelajar sedia ada yang tidak mampu membayar yuran pengajian tidak akan disekat daripada mendaftar subjek pada setiap semester dengan bayaran boleh dilunaskan selepas pendaftaran subjek.
Anwar juga mengulas mengenai pelajar dari Ampang di Selangor dan Tambun di Perak yang menolak tawaran kemasukan ke universiti kerana tidak mampu membayar yuran pendaftaran.
“Ini pertama kali berlaku dalam sejarah, tidak ada anak kita di mana sahaja, daripada kaum mana juga, yang miskin dan tidak mampu menolak tawaran ke universiti. Dia daftar dulu, kemudian dia lapor,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








