Polis Korea Selatan siasat pelantikan jurulatih selepas gagal di Piala Dunia
SEOUL – Polis Korea Selatan menyerbu ibu pejabat Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) hari ini bagi menyiasat dakwaan berlaku penyelewengan dalam pelantikan bekas ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Hong Myung-bo, yang mencetuskan kontroversi susulan kegagalan negara itu melepasi saingan peringkat kumpulan Piala Dunia.
Jurucakap polis berkata, operasi geledah dan rampasan dijalankan sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap dakwaan menghalang urusan rasmi dalam proses pelantikan Hong pada 2024.
Hong, 57, meletakkan jawatan pada Jun lalu selepas Korea Selatan tersingkir daripada Piala Dunia berikutan kekalahan mengejut 1-0 kepada Afrika Selatan.
Pelantikannya sebelum ini sudah menimbulkan persoalan dalam kalangan pemerhati bola sepak, namun tekanan terhadap KFA semakin memuncak selepas prestasi hambar skuad Taeguk Warriors di pentas Piala Dunia.
Pada penghujung Julai lalu, Hong turut dipanggil memberi keterangan di hadapan jawatankuasa Parlimen yang menyiasat proses pelantikannya.
Dalam prosiding itu, beliau mengakui bertanggungjawab sepenuhnya terhadap prestasi buruk pasukan kebangsaan.
Sementara itu, Presiden Lee Jae Myung menyifatkan kegagalan Korea Selatan berpunca daripada pelantikan individu yang tidak cekap ke jawatan penting, selain membayangkan amalan pilih kasih dan fahaman berpuak-puak telah mencemari proses pelantikan dalam badan induk bola sepak negara itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








