SUKAN

Kelayakan Piala Dunia : Argentina malukan Brazil

RIO DE JANEIRO – Brazil menerima tamparan hebat apabila dibelasah seteru utama, Argentina, 4-1 dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026 Zon Amerika Selatan awal pagi tadi, sekali gus meningkatkan tekanan ke atas pengendali mereka, Dorival Jr.

Skuad tuan rumah yang sebelum itu menang tipis 2-1 ke atas Colombia gagal meneruskan momentum apabila dikejutkan dengan jaringan awal Julian Alvarez seawal minit keempat.

Argentina yang turun tanpa bintang utama, Lionel Messi dan Lautaro Martinez, terus menunjukkan keampuhan apabila Enzo Fernandez menggandakan kedudukan pada minit ke-12 dengan penyudah kemas dalam kotak penalti.

Brazil cuba bangkit dan berjaya merapatkan jurang pada minit ke-26 menerusi Matheus Cunha yang memanfaatkan kesilapan pertahanan Argentina, Cristian Romero.

Namun, skuad kendalian Lionel Scaloni pantas kembali menguasai permainan apabila Alexis Mac Allister menjaringkan gol ketiga pada minit ke-37 hasil hantaran Fernandez.

Babak kedua menyaksikan Argentina terus mendominasi perlawanan dan menambah satu lagi gol pada minit ke-71 menerusi Giuliano Simeone yang menyudahkan peluang di hadapan gawang.

Keputusan itu mengukuhkan kedudukan Argentina di puncak carta kelayakan dengan 31 mata selepas 14 perlawanan, sekali gus menjadi pasukan pertama dari Amerika Selatan yang mengesahkan tiket ke Piala Dunia 2026 di Amerika Utara.

Sementara itu, keputusan seri 0-0 antara Uruguay dan Bolivia sebelum perlawanan Brazil-Argentina turut membantu skuad Albiceleste layak lebih awal.

Brazil yang kini menghuni tangga keempat dengan 21 mata bakal berdepan tekanan hebat dalam baki saingan kelayakan bagi memastikan tempat ke Piala Dunia.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button