BERITA SEMASA

Lepas singkir England, pemain Argentina bawa isu Falkland ke padang

ATLANTA – Beberapa pemain Argentina mencetuskan kontroversi selepas mempamerkan sepanduk berunsur politik berkaitan tuntutan Kepulauan Falkland selepas menewaskan England 2-1 dalam aksi separuh akhir Piala Dunia 2026, semalam.

Sepanduk yang tertera tulisan “Las Malvinas Son Argentinas” atau “Kepulauan Malvinas milik Argentina” itu diangkat oleh pemain pertahanan Lisandro Martinez dan Giovani Lo Celso selepas tamat perlawanan.

Tindakan itu dipercayai melanggar peraturan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang melarang paparan bahan berbentuk politik, menyinggung atau diskriminasi di dalam stadium.

Menurut Kod Tatakelakuan Stadium FIFA, larangan itu merangkumi sepanduk, bendera, risalah, pakaian atau bahan lain yang mempunyai unsur politik, ofensif dan diskriminasi.

FIFA bagaimanapun masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden berkenaan selepas diminta mengulas.
Isu kedaulatan Kepulauan Falkland yang dikenali sebagai Malvinas oleh Argentina, menjadi pertikaian lama antara kedua-dua negara.

Argentina dan Britain pernah berperang selama 10 minggu pada 1982 berhubung kepulauan di Atlantik Selatan itu, dengan konflik tersebut mengorbankan 649 anggota tentera Argentina dan 255 anggota tentera Britain.

Britain akhirnya memenangi peperangan berkenaan dan majoriti penduduk kepulauan itu menyatakan hasrat untuk kekal sebagai sebahagian daripada Britain.

Namun, Argentina terus menuntut kedaulatan terhadap kepulauan tersebut dengan mendakwa ia diwarisi daripada Sepanyol selepas memperoleh kemerdekaan pada 1816 sebelum Britain mengambil alih pada 1833.

Martinez dan Lo Celso dilihat tersenyum sambil mengibarkan sepanduk berkenaan ke arah penyokong di tempat duduk penonton selepas kemenangan dramatik Argentina.

Isu paparan simbol politik bukan perkara baharu dalam Piala Dunia 2026 apabila sebelum ini penyokong Iran-Amerika turut membawa bendera era sebelum revolusi Iran ketika perlawanan membabitkan Iran di Los Angeles.
Bagaimanapun, perlawanan tersebut diteruskan tanpa sebarang insiden besar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button