BERITA SEMASADALAM NEGERI

Isu rumah ibadat mesti ikut undang-undang – Sultan Ibrahim

KUALA LUMPURIsu berkaitan pembinaan rumah ibadat, termasuk kuil, hendaklah ditangani mengikut peraturan serta saluran undang-undang yang ditetapkan, titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Seri Paduka Baginda menegaskan, sebarang perkara berhubung agama tidak wajar dipolitikkan oleh mana-mana pihak sehingga boleh menjejaskan keharmonian, perpaduan dan kestabilan negara berbilang kaum ini.

Menurut Baginda, Malaysia dibina atas asas keharmonian, manakala kekuatan negara terletak pada semangat saling menghormati, toleransi serta pematuhan kepada undang-undang.

Titah Baginda, setiap rakyat memikul tanggungjawab untuk memelihara nilai berkenaan demi kepentingan bersama dan semua pihak wajib akur kepada undang-undang yang termaktub, termasuk dalam hal penggunaan tanah serta pembinaan rumah ibadat.

Mengimbas pengalaman lalu, Sultan Ibrahim bertitah, Baginda pernah bertindak sebagai pendamai dalam menyelesaikan isu perobohan sebuah kuil di Johor pada Januari 2018 secara baik, berhemah dan berlandaskan undang-undang.

“Saya sendiri menyelesaikan masalah berkenaan secara baik serta menasihatkan semua pihak yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini serta menjaga ketenteraman awam.

“Agama Islam menekankan prinsip saling hormat-menghormati antara sesama manusia dan Islam tidak menghalang penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan serta ibadat masing-masing.

“Penganut agama lain juga wajar menunjukkan sikap hormat terhadap Islam. Pendekatan saling menghormati ini penting bagi mengelakkan salah faham, ketegangan dan provokasi, sekali gus memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat yang berbilang agama dan budaya.

“Oleh demikian, apabila timbul sebarang isu berkaitan pembinaan kuil atau rumah ibadat, semua pihak hendaklah memahami serta menghormati undang-undang negara, di samping menyelesaikan perbezaan menerusi saluran yang sah demi mengekalkan keharmonian, toleransi dan semangat muhibah,” titah Seri Paduka Baginda menerusi hantaran di Facebook.

Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan menerima mengadap Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Aaron Ago Dagang di Istana Negara, hari ini.

Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Aaron Ago Dagang di Istana Negara, hari ini.

Seri Paduka Baginda turut mengingatkan semua pihak agar mengelakkan sebarang kenyataan atau tindakan yang boleh menimbulkan salah faham, perpecahan serta menggugat keamanan negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button