Fahmi tegur TikTok, tidak serius tangani isu kandungan palsu dan buli siber
KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menegaskan pihak TikTok akan berdepan tindakan undang-undang sekiranya terus culas menangani isu kandungan palsu, buli siber dan penipuan dalam talian.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan bersama pengurusan tinggi TikTok bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Ibu Pejabat Bukit Aman, hari ini.
Menurut Fahmi, kerajaan menyampaikan mesej tegas kepada semua platform media sosial termasuk TikTok supaya mematuhi undang-undang yang ditetapkan kerajaan mengenai perkara itu.
“Dari 1 Januari hingga 31 Ogos, sebanyak 76,002 kandungan berjaya diturunkan daripada platform itu, manakala 10,730 kandungan gagal diturunkan. Ini bermaksud hanya 86 peratus kandungan berjaya diambil tindakan,” katanya.
Fahmi berkata, isu pengguna bawah umur juga dibangkitkan apabila ramai murid sekolah rendah didapati memiliki akaun TikTok walaupun garis panduan platform menetapkan had umur minimum 13 tahun.
“Kita minta TikTok bersama MCMC dan PDRM meneliti mekanisme pengesahan umur seperti yang dilaksanakan di Singapura, Australia dan China,” jelasnya.
Fahmi turut melahirkan rasa tidak puas hati terhadap sikap TikTok yang disifatkan ‘tidak serius’ dalam menangani isu buli siber khususnya kes melibatkan mendiang Rajeswari a/p Apahu atau lebih dikenali sebagai Aisyah.
“Walaupun mereka berjanji menambah jumlah moderator, sehingga kini TikTok gagal menyatakan berapa jumlah sebenar moderator khususnya bagi kandungan dalam bahasa Tamil,” katanya.
Beliau menambah, kelewatan TikTok memberi kerjasama dalam siasatan kes penipuan turut menyukarkan siasatan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK).
Menurutnya, kerajaan tidak berhasrat menyekat atau mengharamkan TikTok, sebaliknya mahu memastikan platform itu mematuhi undang-undang Malaysia dan lebih proaktif melindungi pengguna.
“Kita berpegang kepada hak rakyat untuk bersuara tetapi keselamatan kanak-kanak dan keluarga perlu diutamakan. TikTok dan platform lain mesti bertanggungjawab,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSAR) dijangka dikuatkuasakan bermula Oktober ini bagi memberi kuasa tambahan kepada kerajaan mengambil tindakan terhadap platform yang gagal mengawal kandungan berbahaya seperti ‘deepfake’.
Katanya, mekanisme sedia ada terbukti gagal dan perlu diganti dengan kaedah baharu yang lebih berkesan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








