Jangan politikkan isu hiasan Krismas, boleh jejas imej pelancongan – King Sing
KUALA LUMPUR – Isu hiasan bertemakan sambutan Hari Natal di premis makanan dan hotel tidak wajar dipolitik dan diperbesarkan sehingga mencetuskan kekeliruan serta menjejaskan imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan antarabangsa, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Beliau berkata bagi menyatakan kekesalan terhadap polemik yang timbul susulan keputusan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) berhubung penggunaan hiasan perayaan di premis yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), yang menurutnya berpotensi mencetuskan persepsi negatif terhadap keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.
Menurut Tiong, penjelasan JAIM bahawa larangan hiasan hanya terpakai di dapur dan ruang makan yang diperakui halal, manakala kawasan lain seperti lobi hotel serta ruang awam tidak tertakluk kepada sekatan tersebut, perlu difahami dan disampaikan dengan jelas agar tidak disalah tafsir.
“Saya ingin menekankan bahawa dalam konteks masyarakat majmuk ini, sambutan Krismas lebih bersifat hiasan perayaan dan ekspresi budaya.
“Setiap hotel sepatutnya mempunyai kebebasan untuk menghias dalam had yang munasabah, termasuk restoran. Jika hak paling asas untuk hiasan dipersoalkan, apakah persepsi yang akan terbentuk terhadap negara kita?,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, dalam konteks masyarakat berbilang kaum dan agama, sambutan Krismas lebih bersifat hiasan perayaan dan ekspresi budaya, justeru hotel serta premis berkaitan seharusnya diberi ruang untuk menghias secara munasabah tanpa menjejaskan prinsip pensijilan halal.
Beliau turut mendakwa telah menerima maklum balas daripada pelancong antarabangsa yang keliru dengan polemik berkenaan, malah ada yang menganggap Melaka kurang mesra dari sudut toleransi agama dan budaya, suatu persepsi yang bercanggah dengan imej Malaysia yang sekian lama dikenali sebagai negara sederhana dan inklusif.
“Kebimbangan saya melangkaui tafsiran peraturan itu sendiri; ia terletak pada kesan isu yang diperbesarkan ini terhadap imej antarabangsa Melaka dan Malaysia. Kita tidak seharusnya membiarkan isu yang tidak sepatutnya disensasikan menjadi kontroversi politik, agama atau perkauman,” katanya.
King Sing turut menegaskan isu berkenaan tidak seharusnya disensasikan sehingga menjadi kontroversi politik, agama atau perkauman kerana tindakan sedemikian hanya mengundang salah faham serta merugikan usaha promosi pelancongan, khususnya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 yang menjadi agenda nasional.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak, termasuk pemimpin agama dan kerajaan negeri, agar memperkukuh dialog, komunikasi serta penyelarasan antara jabatan berkaitan supaya sebarang perbezaan tafsiran dapat diselesaikan secara berhemah, sekali gus memelihara keharmonian masyarakat dan imej Malaysia di mata dunia.
Berhubung isu berkaitan hiasan bertemakan sambutan Hari Natal di premis makanan dan hotel, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Bin Hasan hari ini turut memperjelaskan bahawa hiasan bertemakan sambutan Hari Natal tidak melanggar syarat pensijilan halal JAKIM.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








