Malaysia tekad tangani isu murid tercicir, KPM anjur Seminar ASEAN
KUALA LUMPUR – Malaysia terus memperkukuh komitmen dalam memastikan tiada murid tercicir daripada sistem pendidikan negara menerusi penganjuran Seminar ASEAN Out-of-School Children and Youth yang berlangsung dari 28 hingga 30 Oktober lalu.
Seminar anjuran Kementerian Pendidikan (KPM) dengan kerjasama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia itu dirasmikan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, dan bertemakan “From Margin to Center: Bridging Out-of-School Children and Youth (OOSCY) Intersectionalities through Innovative Solutions”.
KPM berkata, program berkenaan adalah kesinambungan persetujuan Langkawi Joint Statement hasil rundingan meja bulat Menteri-Menteri Pendidikan ASEAN pada Jun lalu dan menjadi platform penting memperkukuh langkah menangani isu keciciran pendidikan di rantau ini.
“Seminar ini memberi fokus kepada strategi inovatif berasaskan data dan bukti bagi memastikan kanak-kanak serta belia terpinggir tidak terus ketinggalan dalam pendidikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Seramai lebih 100 peserta hadir termasuk wakil negara ASEAN, Mongolia, China, India serta rakan strategik antarabangsa seperti UNICEF, UNESCO, OECD dan SEAMEO.
Menurut KPM, seminar turut menekankan penggunaan teknologi baharu, khususnya kecerdasan buatan (AI), bagi meningkatkan keupayaan pengumpulan data serta menyokong intervensi pendidikan berimpak tinggi. Program Children’s Co-Lab juga dilaksana bagi memberi ruang kepada murid menyuarakan pendapat dan pandangan mereka.
Dalam pada itu, Fadhlina turut melancarkan Sistem Pengesanan Murid KPM-SiPKPM, sebuah sistem analitik ramalan bagi mengesan murid berisiko tercicir serta membantu merangka laluan pembelajaran dan kerjaya secara lebih peribadi.
“KPM komited memastikan akses kepada pendidikan berkualiti terus diperkasa dan usaha mengekalkan murid dalam sistem pendidikan sentiasa dipertingkatkan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








