Malaysia komited sokong usaha Thailand, Kemboja perkukuh keamanan, kestabilan sempadan bawah kerangka ASEAN
KUALA LUMPUR – Malaysia kekal komited menyokong usaha Thailand dan Kemboja dalam memperkukuh keamanan serta kestabilan di sepanjang sempadan kedua-dua negara itu, selaras dengan semangat persefahaman dan kerjasama serantau di bawah kerangka ASEAN.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan perkara itu selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am Khas (GBC) ke-2 antara Thailand dan Kemboja di Wisma Perwira ATM, di sini hari ini.
“Malaysia berharap agar persetujuan yang dicapai hari ini serta proses perdamaian yang sedang dijalankan akan terus dihormati bagi memastikan keamanan berkekalan di kawasan sempadan.
“Malaysia berbangga menjadi tuan rumah dan menjalin hubungan erat dengan dua negara sahabat ini, yang mencerminkan peranan aktif negara dalam memupuk keamanan dan kestabilan di rantau ASEAN,” kata Khaled.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di akaun rasmi Facebook miliknya, hari ini.
Dalam mesyuarat berkenaan, ddelegasi Thailand diketuai Menteri Pertahanan, Natthaphon Narkphanit manakala Menteri Pertahanan Kemboja, Tea Seiha, mengetuai delegasi negaranya.
Ketika ini, Thailand dan Kemboja sedang bekerjasama ke arah mencapai keamanan berkekalan di sepanjang sempadan darat sejauh 817 kilometer yang sekian lama menjadi punca pertikaian.
Ketegangan antara kedua-dua negara itu memuncak hingga mencetuskan konfrontasi ketenteraan di kawasan sempadan Oddar Meanchey dan Preah Vihear 24 Julai lalu, sebelum kedua-dua pihak bersetuju melaksanakan gencatan senjata hasil usaha rundingan Malaysia di Putrajaya pada 28 Julai.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








