BERITA SEMASA

Proton bakal tembusi pasaran global – PM

TANJUNG MALIM – Kehadiran ramai pemimpin dunia ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Kuala Lumpur Oktober ini bakal membuka peluang untuk Proton memperkukuh jenama di peringkat antarabangsa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sidang itu dijangka menghimpunkan pemimpin negara kuasa besar ekonomi dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

“Saya telah minta Proton menyediakan ruang semasa sidang utama supaya pemimpin dan rombongan negara luar dapat melihat sendiri keupayaan, prestasi serta teknologi Proton.

“Langkah itu penting bagi membolehkan Proton menembusi pasaran antarabangsa,” katanya ketika merasmikan kilang kenderaan elektrik (EV) Proton di Tanjung Malim, hari ini.

Kilang itu merupakan fasiliti pengeluaran EV pertama di Malaysia.

Anwar berkata, antara pemimpin yang akan hadir termasuk Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva; Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa; pemimpin dari China, Jepun dan Australia.

“Walaupun mesyuarat berkisar tentang ASEAN, jaringan yang terjalin adalah antarabangsa.

“Kita berusaha untuk meneroka pasaran di Afrika Selatan, malah tidak menutup peluang untuk ke Brazil,” katanya.

Anwar turut mendedahkan, ketika lawatan ke Beijing baru-baru ini, beliau bertemu Perdana Menteri Mesir, Mostafa Madbouly yang menyatakan kebanggaan terhadap prestasi Proton di negara itu.

“Proton kini menjadi antara kenderaan popular dan mudah dimiliki rakyat Mesir, sesuatu yang sangat membanggakan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button