AUTOMOTIF & TEKNOLOGIBERITA SEMASA

Perodua secara rasmi lancar QV-E, RM80,000 seunit

KUALA LUMPUR – Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) secara rasminya melancarkan QV-E, kereta elektrik pertama buatan Malaysia, yang dijual pada harga RM80,000 tidak termasuk insurans dan bateri.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, model QV-E dibangunkan sebagai sebahagian usaha nasional memperkukuh ekosistem kenderaan elektrik yang mampan.

“QV-E membawa maksud ‘Quest for Visionary-Electric’ dan dibangunkan dengan kos keseluruhan RM800 juta di Smart Mobility Plant, fasiliti pengilangan terbaharu Perodua,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran model baharu itu di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri di ibu negara hari ini.

Pelancaran itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang turut disaksikan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin.

Zainal Abidin berkata, kapasiti pengeluaran semasa ialah 500 unit sebulan, namun angka itu akan ditingkatkan kepada 3,000 unit menjelang suku ketiga 2026 bagi memenuhi permintaan pasaran.

Beliau berkata, setiap ciri QV-E dibangunkan selepas kajian terperinci bagi memastikan aspek fungsi, keselamatan dan keselesaan pengguna dipertingkatkan.

Menurutnya, QV-E adalah bukti kemampuan rakyat Malaysia menghasilkan produk automotif lengkap daripada aspek reka bentuk hingga kejuruteraan.

“QV-E menggunakan bateri Lithium Iron Phosphate berkapasiti 52.5kW dan menawarkan jarak pemanduan sehingga 445 kilometer (NEDC), bergantung kepada gaya pemanduan, suhu dan keadaan jalan.

“Model itu turut dilengkapi ciri keselamatan baharu termasuk Sistem Pengesanan dan Amaran Kanak-kanak yang mampu mengesan pergerakan atau tanda vital seperti bunyi nafas, walaupun objek dilitupi fabrik,” katanya.

Di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Perodua dilantik sebagai juara pengeluar automotif tempatan untuk membangunkan ekosistem EV negara.

Seiring mandat itu, Perodua bekerjasama dengan vendor tempatan bagi mencapai 50 peratus kandungan komponen tempatan pada awal 2026 dan meningkat kepada 70 peratus menjelang 2030.

Setakat ini, sebanyak 52 syarikat tempatan membekalkan komponen kepada QV-E dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 70 dalam tempoh lima tahun.

Zainal Abidin berkata, pembangunan QV-E dalam tempoh 28 bulan adalah hasil sokongan MITI serta agensi kerajaan lain.

“Untuk meningkatkan keterjangkauan, Perodua turut memperkenalkan konsep pajakan bateri ‘Battery as a Service’ yang menawarkan jaminan bateri sepanjang hayat,” katanya.

QV-E ditawarkan dalam dua warna iaitu Ice Blue dan Caviar Grey, dan boleh didapati di cawangan terpilih.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button