BERITA SEMASA

Agenda pendidikan, ekonomi, kebajikan tumpuan pertemuan Anwar bersama masyarakat India – Ramanan

KUALA LUMPUR – Agenda pendidikan, peluang ekonomi, kebajikan dan pembangunan sosioekonomi menjadi antara tumpuan pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pemimpin masyarakat India, hari ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, sesi pertemuan siri kedua itu menghimpunkan kepimpinan daripada sembilan dewan perniagaan serta 14 pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, pertemuan itu turut memberi ruang kepada komuniti berkenaan mengemukakan pandangan, termasuk input berkaitan Belanjawan 2027.

Beliau berkata, sesi berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk mendengar dan memahami secara langsung pandangan, aspirasi serta cabaran yang dihadapi masyarakat India.

“Setiap pandangan, kebimbangan dan cadangan didengar sendiri oleh Perdana Menteri. Pendekatan sebegini amat penting supaya dasar dan inisiatif yang dirangka benar-benar mengambil kira realiti serta keperluan masyarakat di lapangan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menurut Ramanan, pertemuan yang berlangsung dalam suasana terbuka, jujur dan konstruktif itu bukan pengakhiran kepada perbincangan, sebaliknya sebahagian daripada proses libat urus yang akan diteruskan.

“Apa yang dibangkitkan akan diberikan perhatian dan susulan sewajarnya supaya perbincangan ini menghasilkan langkah yang benar-benar dapat dirasai oleh masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Ramanan menzahirkan penghargaan kepada pemimpin komuniti yang hadir dengan membawa suara serta pandangan organisasi masing-masing.

Katanya, penyertaan mereka mencerminkan aspirasi, keperluan dan harapan masyarakat India secara keseluruhannya.

Ramanan berkata, kerajaan akan terus bergerak ke hadapan bersama rakyat dengan mendengar, memahami dan melaksanakan agenda pembangunan.

Turut hadir pada pertemuan itu ialah Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Ketua Pengarah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), K. Raveendran Nair.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button