Fokus pulih ekonomi, bukan tangguh pilihan raya demi kekal berkuasa – PM
SUNGAI PETANI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sebarang keputusan berkaitan tempoh pentadbiran kerajaan bukan bertujuan mempertahankan kedudukannya, sebaliknya bagi memastikan tumpuan dapat diberikan sepenuhnya kepada usaha memulihkan ekonomi dan menyelesaikan masalah rakyat.
Menurut beliau, kestabilan politik merupakan faktor penting dalam menarik pelaburan serta menjamin pertumbuhan ekonomi negara, manakala ketidaktentuan politik dan pilihan raya yang terlalu kerap boleh menjejaskan keyakinan pelabur.
“Saya mahu fokus menyelesaikan masalah rakyat terlebih dahulu. Politik perlu stabil dan tidak seharusnya hanya menjadi medan propaganda atau alat untuk mempertahankan kedudukan.
“Saya bukan mahu kekal berkuasa, tetapi mahu memastikan ekonomi negara terus berkembang dan manfaatnya dapat dirasai rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Pertemuan Mesra bersama Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kedah di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Merbok, di sini hari ini.
Anwar berkata, kerajaan kini memberi keutamaan kepada usaha memperkukuh ekonomi negara melalui kemasukan pelaburan berkualiti dan berteknologi tinggi, di samping meningkatkan taraf hidup rakyat.
Beliau turut menyifatkan pengukuhan nilai ringgit kebelakangan ini sebagai petanda positif terhadap keyakinan pelabur dan kestabilan ekonomi negara.
“Pengurusan ekonomi yang baik memerlukan suasana politik yang stabil.
“Jika pilihan raya diadakan terlalu kerap dan keadaan politik tidak menentu, ia boleh menjejaskan keyakinan pelabur untuk datang ke negara ini,” katanya memetik laporan BH Online.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kerajaan Persekutuan akan terus mengekalkan hubungan baik dengan semua kerajaan negeri termasuk yang ditadbir pembangkang, kerana pembangunan rakyat perlu mengatasi perbezaan politik.
“Walaupun saya tidak mempunyai kuasa mutlak dalam pentadbiran negara, saya mahu gunakan amanah yang diberikan untuk membantu rakyat dan memperkukuh ekonomi negara.
“Allah sudah uji saya dengan pelbagai dugaan termasuk keluar masuk penjara. Sebab itu saya tidak mahu menggunakan kuasa untuk memperkayakan anak, isteri atau keluarga,” katanya.
Beliau turut menyeru semua pihak supaya terus bersabar dan istiqamah dalam menjayakan agenda pembangunan negara yang dilaksanakan Kerajaan MADANI walaupun berdepan pelbagai kritikan.
“Kritikan akan sentiasa ada tetapi amanah yang diberikan rakyat mesti terus dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab demi kepentingan negara,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








